Lil HerO - Muhammad Rayyan

Lilypie First Birthday tickers

Fara & Addin's Anniversary

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Friday, August 8, 2008

Novel: Kusyairkan Janji

[BAB 1]
Zam Shuardi merenung nasib dirinya. Dia cukup resah. Degupan jantungnya semakin laju. Perlahan-lahan dia menghembus nafas keresahannya itu.

Dua jam lagi dia akan bergelar seorang suami bagi seorang wanita yang dikenalinya sejak kecil lagi. Namun, apalah ertinya perkahwinan yang bakal dilangsungkan ini sekiranya hati dan perasaannya tidak wujud terhadap wanita itu. Tapi apakan daya, demi menjaga maruah keluarga wanita itu serta hasil hutang budi terhadap mereka yang belum dijelaskan, Zam Shuardi merelakannya. Dia redha biarpun dia tahu hari-hari yang mendatang pastinya sulit untuk ditempuhi.

"Zam, kenapa termenung ni?" soal Mak Jah yang dari tadi sibuk menggosok baju melayu berwarna putih yang akan digunakan oleh Zam Shuardi nanti. Zam Shuardi tersedar dari lamunannya. Perlahan-lahan dia merenung wajah Mak Jah yang sudah dianggap seperti ibu kandungnya sendiri.

"Mak Jah tahu, Zam serba salahkan?" soal Mak Jah lagi seolah-olah tahu gejolak yang mengganggu hati Zam Shuardi. Zam Shuardi tertunduk. Ikutkan hatinya, mahu saja dia menolak permintaan keluarga majikannya. Dia tak sanggup menjadi suami kepada bakal isterinya itu dan dia juga tidak sanggup menjadi bapa kepada bakal anak yang bukan dari darah dagingnya nanti. Tapi, ada apa dengannya yang mampu menolak kehendak mereka.
Dia sedar dirinya hanyalah seorang tukan kebun dan pemandu di rumah milik keluarga kaya, Haji Mahadi. Tetapi bila mengenangkan peristiwa lampau, dia sememangnya bersyukur kerana dapat bekerja di rumah Haji Mahadi sejak umurnya 8 tahun lagi kerana kehilangan ibubapanya yang maut dalam kebakaran. Nasib malangnya itu terbela bila Mak Jah dan suaminya, Pak Kahar membawa Zam Shuardi bekerja di rumah Haji Mahadi bersama mereka.

"Saya tak tahu nak buat apa lagi Mak Jah" keluh Zam Shuardi lemah. Mak Jah tersenyum. Dia faham benar perasaan Zam Shuardi.

"Sabarlah Zam. InsyaAllah, mana tahu mungkin hidup Zam akan lebih baik lepas ini?" pujuk Mak Jah lembut. Zam Shuardi cuba mengukirkan senyuman. Ya, mungkin hidup aku lebih baik nanti, fikir Zam Shuardi menyedapkan hatinya. Lantas, peristiwa minggu lepas beputar di fikirannya.

Ketika itu, Zam Shuardi sedang membasuh kereta di laman rumah Haji Mahadi. Tiba-tiba dia terdengar pentengkaran di dalam rumah. Jelas kedengaran suara garang Haji Mahadi bergema bagaikan melepaskan kemarahan yang amat dahsyat. Diselangi pula suara tangisan seorang wanita. Zam Shuardi yakin tangisan itu milik Juhara, anak gadis Haji Mahadi. Zam Shuardi enggan mengambil tahu masalah keluarga mereka lalu meneruskan kerjanya. Namun, telinganya belum lagi tuli. Sedikit sebanyak Zam Shuardi dapat menangkap isi utama perbalahan antara mereka.

"Siapa punya angkara?? Cakap Juhara!!! Kau jangan buat aku bunuh kau nanti!!! Cepat cakap!! Siapa bapa dalam kandungan kau ni???" pekik suara Haji Mahadi dari dalam. Suara tangisan Juhara makin kuat. Begitu juga dengan suara Hajah Ratna, isteri Haji Mahadi yang cuba mempertahankan anak gadis kesayangannya. Lantas, Zam Shuardi cepat-cepat menghabiskan kerjanya. Dia tidak mahu lagi mendengar masalah besar yang dihadapi oleh keluarga majikannya itu. Setelah itu, dia segera keluar dari perkarangan rumah menuju ke kedai yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah Haji Mahadi.
Dan malam itu, Mak Jah mengetuk pintu bilik Zam Shuardi. "Ada apa Mak Jah?" tanya Zam Shuardi pelik melihat wajah Mak Jah yang kebimbangan itu.

"Zam, Tuan Haji nak jumpa Zam di rumah. Ada hal penting katanya" pesan Mak Jah. Zam Shuardi terdiam. Dia berasa tak sedap hati. Setelah Mak Jah berlalu, Zam Shuardi menyarungkan bajunya lalu menuju ke rumah besar Haji Mahadi yang terletak bersebelahan dengan rumahnya yang dibina khas oleh Haji Mahadi untuk pekerja-pekerja di rumahnya.

Sampai di ruang tamu, Zam Shuardi melihat Haji Mahadi dan Hajah Ratna sudah menantinya. Perlahan-lahan Zam Shuardi mengadap majikannya itu.
"Kau dah makan, Zam?" soal Haji Mahadi sambil menghisap curut di tangannya. Zam Shuardi mengangguk sahaja. Kemudian, Haji Mahadi menjemput Zam Shuardi duduk di sofa. Tanpa buang masa, Zam Shuardi menurut sahaja.

"Hmmm, aku yakin kau pasti dengar pertengkaran di dalam rumah ini tengahari tadi kan?" soal Haji Mahadi. Walaupun nada suaranya lembut, namun Zam Shuardi sudah mula kerisauan. Punggungnya seolah-olah panas.

"Kau jangan takut. Aku bukan nak marah kau" kata Haji Mahadi lagi. Asap dari mulutnya dihembus keluar. Zam Shuardi memandang wajah Hajah Ratna pula. Matanya bengkak dan kemerahan.
"Errgh, saya tak sengaja dengar, Tuan Haji" ujar Zam Shuardi yang akhirnya memberanikan untuk bersuara. Dia tak sanggup berbohong. Haji Mahadi merenung tepat ke matanya.

"Kalau kau dah dengar, baguslah. Aku pun tak payahlah nak ceritakan semula" kata Haji Mahadi pula. "Sebenarnya aku nak minta pertolongan dari kau" terpacul kata-kata itu dari mulut Haji Mahadi. Zam Shuardi semakin tak senang duduk. Fikirannya tak tentu hala. Berbagai persoalan menerpa di dalam fikirannya. Belum sempat Zam Shuardi bertanya, Haji Mahadi menyambung semula kata-katanya.

"Sebenarnya lelaki yang bertanggungjawab membuntingkan Juhara tidak mahu menerima Juhara lagi. Dia sudah pun ke London bersama keluarganya untuk menetap di sana. Jadi sekarang, aku tak mahu nama keluarga kami ini kotor dengan perangai Juhara ini" kata Haji Mahadi sedih. Zam Shuardi berhati-hati mendengar penjelasan Haji Mahadi. Zam Shuardi masih tidak tahu apakah bentuk pertolongan yang diperlukan oleh Haji Mahadi.
"Aku tahu permintaan aku ni berat bagi kau. Tapi, aku terpaksa sebab tiada cara lain lagi yang dapat aku buat. Aku harap kau dapat membantu aku dalam hal ini" sambung Haji Mahadi lagi. Kata-katanya masih lagi tersembunyi. Namun, Zam Shuardi seakan dapat mengagak apa isi hati Haji Mahadi. Dadanya berdegup laju. Tangannya terketar-ketar.

"Jadi, aku nak kahwinkan anak aku dengan kau bagi menutup malu keluarga kami!" kata Haji Mahadi yang akhirnya berterus terang. Bagaikan halilintar memanah hati Zam Shuardi. Pemuda itu menggigil ketakutan. Peluh tiba-tiba mencurah-curah di badannya. Pemuda yang berusia 23 tahun itu terasa seperti mahu pitam sahaja. Haji Mahadi dan Hajah Ratna hanya mampu melihat keresahan Zam Shuardi. Apakan daya, itu sahaja jalannya bagi menutup aib mereka dari orang ramai kelak.

"Tapi kenapa saya?" soal Zam Shuardi cuba mencari sebabnya.
"Sebab kami tahu kau boleh membantu kami. Inilah masanya kau balas jasa kami yang mengambil kau bekerja di sini. Kalau tidak, tentu kau sekarang ni kau dah mati" kata Hajah Ratna cuba mengungkit kisah lama. Airmatanya bercucuran. Zam Shuardi terdiam. Memang betul kata Hajah Ratna itu walaupun perit untuk didengarnya. Namun, kata-kata pedas Hajah Ratna disusuli dengan suara Haji Mahadi yang memarahinya. Zam Shuardi makin keliru.

"Aku sebenarnya yakin dengan kau. Lagipun aku tengok kau ni budak baik. Mungkin kau boleh menundukkan perangai liar Juhara nanti. Aku harap kau boleh terima Juhara sebagai isteri kau. Lagipun, kehidupan kau lepas ni akan berubah. Kau tak perlu lagi duduk di rumah orang gaji lagi. Jangan bimbang, kami akan tanggung kamu sekeluarga" pujuk Haji Mahadi lagi. Dia perlu meyakinkan Zam Shuardi.

"Bagaimana dengan Cik Juhara? Adakah dia akan menerima saya?" soal Zam Shuardi pula. Dia sebenarnya cukup masak dengan perangai Juhara yang dikenali sejak kecil lagi. Juhara sangat berbeza dengan sikap Haji Mahadi dan isterinya. Banyak kali hatinya terguris bila dilemparkan kata-kata kesat dari Juhara dari dahulu sampai sekarang. Bukan setakat Zam Shuardi, malah Juhara cukup biadap terhadap pekerja-pekerja yang lain termasuk Mak Jah dan Pak Kahar.

"Itu kau tak perlu risau. Mahu tak mahu, dia harus menerima arahan kami sesudah dia memalukan keluarga kami." kata Haji Mahadi. "Minggu depan kau harus nikah sebab aku tak mahu orang nampak perut Juhara membesar. Segala persiapan akan aku aturkan" kata Haji Mahadi lalu bangun diikuti Hajah Ratna meninggalkan Zam Shuardi yang terpinga-pinga di ruang tamu.

[BAB 2]
Dengan satu lafaz sahaja, kini Juhara Haji Mahadi sudah sah bergelar isteri kepada Zam Shuardi Yushak. Ketika tok kadi membacakan doa, Zam Shuardi sempat menjeling ke arah isterinya yang berada di sisinya. Wajah Juhara masam mencuka. Zam Shuardi mengerti. Upacara akad nikah diadakan secara sederhana sahaja di rumah Haji Mahadi dengan dihadiri beberapa saudara mara mereka. Cuma tiada kelibat dari keluarga Zam Shuardi kecuali Mak Jah dan Pak Kahar sahaja yang sudah dianggap seperti ibubapanya sendiri.

"Ayah harap kau dapat bimbing Juhara ke jalan yang benar. Ayah serahkan segala tanggungjawab kepada kau" pesan Haji Mahadi kepada Zam Shuardi setelah selesai upacara bersejarah itu. Zam Shuardi cuba tersenyum. Namun terselit di hatinya perasaan gusar dan bimbang mengenangkan kehidupannya kelak. Kelihatan Juhara sedang menangis dalam dakapan Hajah Ratna. Zam Shuardi mengeluh panjang. Dia kemudian meminta izin untuk ke dapur bertemu dengan Mak Jah dan Pak Kahar.

"Mak Jah.." ucap Zam Shuardi lembut sambil mendakap wanita berusia separuh abad itu yang sedang membasuh pinggan. Mak Jah terkejut dengan kelakuan Zam Shuardi. Begitu juga Pak Kahar yang sibuk membantu isterinya di dapur. Mata Zam Shuardi mula bergenang dengan linangan airmata.

"Ehh, kenapa ni Zam?" soal Mak Jah terpinga-pinga lalu menangguhkan kerjanya tadi. Rambut Zam Shuardi diusap manja.

"Kenapa Zam menangis ni? Beritahu Pak Kahar apa sebabnya?" pujuk Pak Kahar pula. Perlahan-lahan Zam Shuardi melepaskan dakapannya. Airmatanya dikesat dengan tangan.

"Zam bingung Mak Jah, Pak Kahar. Zam tak tahu apakah keputusan Zam ini tepat atau ianya akan memburukkan lagi hidup Zam" bisik Zam Shuardi perlahan. Dia tak mahu suaranya didengar oleh orang lain. Mak Jah tersenyum. Namun senyumannya itu bukan lahir dari hatinya. Mak Jah tahu Zam Shuardi kini dalam dilema. Dilema yang cukup besar ditempuhi oleh anak muda yang sudah berusia 23 tahun ini.

"Kami faham perasaan Zam. Kami pun tak sangka perkara ini akan terjadi. Tapi Zam harus redha. Zam kena terima kerana keputusan Zam yang tentukan. Pak Kahar dan Mak Jah akan sentiasa mendoakan kesejahteraan Zam sekeluarga. InsyaAllah" pujuk Pak Kahar. Nalurinya cukup tersentuh. Kalau ikutkan hati, mahu saja dia menghasut Zam Shuardi agar membatalkan pernikahannya tadi. Tapi bila mengenangkan tindakan yang mungkin akan diambil oleh Haji Mahadi, Pak Kahar mendiamkan diri. Dia faham benar dengan perangai Juhara, gadis yang cukup liar dan kurang ajar yang tidak berubah langsung dari dulu hingga sekarang.

"Cuma Mak Jah berpesan pada Zam. Banyak-banyakkan bersabar. Ingat Allah. Jangan buat perkara yang akan merosakkan diri sendiri. Kalau dah senang nanti, jangan lupa asal usul, ye nak?" pesan Mak Jah lembut. Zam Shuardi tersenyum. Dia akan ingat segala pesanan Mak Jah dan Pak Kahar. Apapun hidup mesti diteruskan.

Malam itu, Zam Shuardi menanti dengan penuh debar di kamar pengantin. Bilik besar itu disusun kemas dan indah. Jam sudah pun pukul 11 malam. Juhara masih bersama ibubapanya di ruang tamu bawah. Zam Shuardi sebelum itu meminta izin untuk naik ke bilik kerana keletihan.

Tiba-tiba pintu bilik dibuka. Kelihatan Juhara memasuki bilik dengan mukanya herot. Zam Shuardi tidak berani bersuara. Dia hanya duduk di katil menanti kehadiran isterinya. Juhara tidak langsung memandang wajah Zam Shuardi apatah lagi untuk berbual dengannya. Dia menanggalkan getah rambutnya dan segera menyapu krim pada wajahnya. Zam Shuardi hanya mampu memandang. Tidak dinafikan Juhara seorang gadis yang cukup lawa dan mempesonakan. Tapi sayang, kecantikkannya hanya pada luaran, tidak di dalam hatinya.

Hampir 5 minit, barulah Juhara menuju ke katilnya. Dia merenung wajah Zam Shuardi. Perlahan-lahan dia duduk di sebelah Zam Shuardi. Tangan halusnya menyentuh kulit pipi Zam Shuardi. Zam Shuardi makin tak senang duduk.
PANNNNNNNGGGGG!!!!!!!!!!!!

Satu tamparan yang agak kuat singgah pada pipi Zam Shuardi. Muka Zam Shuardi terasa panas. Dilihatnya wajah Juhara yang ayu itu bertukar menjadi bengis.

"Apa kau ingat aku dah jadi bini kau, kau boleh buat sesuka hati? Sedar sikit kau tu siapa?" kata Juhara berbisik sambil tangannya menggenggam dagu Zam Shuardi. Dia tidak mahu suaranya kedengaran di luar bilik. Zam Shuardi tunduk lesu. Dia seolah-olah tidak mampu berbuat apa-apa.

"Aku nak bagi amaran pada kau. Jangan sesekali kau sentuh tubuh badan aku kecuali di depan mak bapak aku! Faham??" kata Juharara lagi. Tindakannya cukup melampau. Kemudian, dia pun membaling bantal ke lantai. Zam Shuardi mengerti lantas dia bangun menuju ke sudut bilik. Perlahan-lahan dia berbaring di atas lantai yang agak sejuk itu. Juhara tersenyum puas bagaikan tiada sekelumit rasa simpati pada Zam Shuardi. Baginya, Zam Shuardi hanyalah orang gajinya bukan suaminya.

Dengan pipinya berasa kebas, Zam Shuardi cuba melelapkan matanya yang tidak mengantuk itu. Dia mengenang nasib dirinya. Adakah dia akan hidup selamanya sebegini? Atau haruskah dia melakukan sesuatu untuk membimbing perangai buruk isterinya? Atau perlukah dia menceraikan sahaja Juhara? Zam Shuardi makin bingung dan serba salah. Apa yang pasti hidupnya mesti diteruskan.

[BAB 3]
Perut Juhara makin membesar. Sepatutnya dia sudah melahirkan anak yang dikandungnya itu tiga minggu lepas. Namun kata doktor, masih belum ada tanda-tanda lagi yang menunjukkan Juhara boleh bersalin. Zam Shuardi cukup cemas dengan situasi ini. Biarpun hidupnya hampir 7 bulan ini asyik dicaci dan dihina oleh Juhara, dia tetap bersabar. Dan juga walaupun anak yang dikandung Juhara itu bukan dari darah dagingnya, dia bertekad untuk menyayangi insan yang tidak berdosa itu ibarat anak kandungnya sendiri.

Malam itu, sedang Zam Shuardi nyenyak tidur beralaskan lantai, tiba-tiba kepalanya terasa sakit diikuti dengan bunyi barang pecah. Zam Shuardi terus terjaga. Tangannya meraba pada dahinya. Dalam kesamaran malam, dia dapati terdapat darah di tangannya. Dilihatnya juga serpihan pasu kecil yang pecah bersepah di sisinya.
"Hoi bodoh. Aku panggil kau buat tak dengar je tadi!!" jerit Juhara di atas katil. Rupanya dia yang membaling pasu tepat di kepalanya. Zam Shuardi terkejut bila melihat Juhara mengerang kesakitan memegang perutnya yang memboyot itu. Mimik mukanya sudah cukup menunjukkan kesakitan yang perit dialaminya.

"Yang kau tengok aku buat apa? Panggillah doktor datang!! Perut aku sakit sangat ni!!" marah Juhara sambil menjerit kuat menahan sakit. Zam Shuardi panik. Dia terus bangun menuju ke arah isterinya itu. Namun Juhara terus menjerit dan menghalaunya keluar. Zam Shuardi terus meninggalkan isterinya lalu mengetuk pintu kamar Haji Mahadi. Tidak lama kemudian, Hajah Ratna membuka pintu.

"Ya Allah. Kenapa dahi kau berdarah ni??" soal Hajah Ratna terperanjat melihat keadaan menantunya itu dalam keadaan berdarah dan kerisauan. Kelihatan juga Haji Mahadi sudah meninggalkan katilnya.

"Mak, Juhara dah nak bersalin mak!!" kata Zam Shuardi tercungap-cungap. Haji Mahadi dan Hajah Ratna terkejut. Tanpa membuang masa Hajah Ratna terus berlari menuju ke bilik Juhara manakala Haji Mahadi pula menelefon doktor peribadi keluarga mereka supaya datang ke rumahnya.

Zam Shuardi sangat resah. Peluhnya tak henti mengalir laju. Dia tak tahu kenapa dia berperasaan begitu walhal bayi yang bakal lahir itu bukan anak dari benihnya sendiri. Kadangkala dia mersa cukup bingung. Mujur ada Mak Jah di sisinya yang sudi menemaninya selain Haji Mahadi.

Sudah lama doktor, jururawat dan ibu mertuanya berada di dalam bilik bersama Juhara. Tidak lama kemudian, suara tangisan bayi memecah kesunyian pekat malam itu. Mak Jah dan Zam Shuardi saling memandang. Tidak lama kemudian, doktor yang menyambut kelahiran bayi tersebut, keluar dari bilik dengan mulutnya tak lekang dengan senyuman. Zam Shuardi terus mendapatkan doktor itu.

"Tahniah, kamu dapat anak lelaki!" ucap doktor itu. Zam Shuardi tersenyum kegirangan. Begitu juga dengan Haji Mahadi dan Mak Jah. Zam Shuardi terus memasuki biliknya. Didapati Juhara dalam keadaan lemah dan tidak bermaya. Hajah Ratna pula sedang memangku cucunya pertamanya.

"Nah ambil anak kamu ni, Zam. Laungkan Azan untuknya" ucap Hajah Ratna lembut sambil menyerahkan bayi tersebut kepada Zam Shuardi. Dengan penuh yakin, Zam Shuardi mengalunkan azan dengan penuh syahdu. Perlahan-lahan airmatanya menitis. Haji Mahadi dan Hajah Ratna cukup terharu melihat naluri kebapaan yang ada pada Zam Shuardi biarpun mereka tahu anak yang tidak berdosa itu bukanlah sedarah dengan Zam Shuardi. Terselit keazaman di hati kecil Zam Shuardi, akan dididik dan dibesarkan seperti anaknya sendiri.

[BAB 4]
Hidup Zam Shuardi makin berseri. Kehadiran Muhammad Shazwan bagaikan memberi sinar untuknya terus hidup. Zam Shuardi juga sudah bekerja sebagai kerani biasa di pejabat bapa mertuanya. Biarpun Juhara mempunyai jawatan yang lebih tinggi di situ juga, namun Zam Shuardi tetap bersyukur. Sekurang-kurangnya dia sudah ada pendapatan sendiri.

Namun, kehidupannya di bilik sendiri masih seperti dulu. Semenjak berkahwin, belum pernah dia merasa nikmat di atas katil bersama isterinya. Zam Shuardi sangat mengimpikan memiliki cahaya mata hasil dari benihnya sendiri. Tapi apakan daya, Juhara masih berperangai sebegitu. Entah bila dia akan berubah, Zam Shuardi pun tidak tahu. Hanya doa sahaja yang dapat diusahakan oleh Zam Shuardi untuk merubah keperibadian isterinya itu.

Malam itu, setelah menidurkan Shazwan yang sudah pun berusia 9 bulan di katil bayi dalam biliknya, Zam Shuardi merebahkan tubuhnya yang tidak berbaju dan hanya berkain pelikat di atas lantai. Sememangnya dia sudah biasa dengan kedinginan lantai itu.

Tiba-tiba pintu biliknya yang tidak berkunci dibuka. Zam Shuardi berpura-pura tidur. Juhara baru balik dari berparti bersama rakan-rakannya di luar tadi. Zam Shuardi sempat mencelikkan sedikit matanya. Juhara dalam keadaan mabuk. Rambutnya kusut masai. Pakaian yang terlekat di tubuhnya sangat menghairahkan. Perlahan-lahan Juhara cuba berjalan walaupun terhuyung hayang melangkah tubuh Zam Shuardi. Tiba-tiba kakinya tersadung dan terus jatuh menimpa badan Zam Shuardi.

"Yang kau tidur bawah ni kenapa hah?" soal Juhara lalok. Kepalanya tersengguk-sengguk. Zam Shuardi terus duduk membantu Juhara bangun. Kemudian Zam Shuardi memapah Juhara ke katilnya. Sampai saja di katil, Zam Shuardi terus merebahkan tubuh Juhara. Belum sempat Zam Shuardi berlalu, Juhara begitu tangkas menangkap tangan Zam Shuardi.

"Weh, kau nak ke mana hah? Marilah berhibur dengan aku kat sini" kata Juhara mabuk. Dia seolah-olah lupa lelaki yang dihadapannya itu adalah lelaki yang sangat dibencinya. Zam Shuardi kaku bila tangan lembut dan halus Juhara merayap di seluruh tubuhnya. Malam itu, Juhara sangat mengghairahkan. Kemudian Juhara terus memeluk erat badan Zam Shuardi sambil menghadiahkan ciuman di pipi Zam Shuardi. Bau mulut Juhara agak meloyakan Zam Shuardi namun nafsu lelakinya yang disimpan selama ini melebihi segalanya. Ternyata malam itu Zam Shuardi tewas dalam dakapan Juhara. Malam terus berlalu meninggalkan Zam Shuardi dan Juhara hanyut dalam kehangatan asmara.

"TIDAKKKKKK!!!!!" jeritan Juhara mengejutkan Zam Shuardi yang sedang nyenyak tidur di katil pagi itu. Zam Shuardi melihat wajah bengis isterinya itu. Jeritan Juhara turut mengejutkan Shazwan di katil bayi bersebelahan. Shazwan menangis kuat.

"Kenapa kau ada di atas katil ni? Kenapa???" pekik Juhara marah sambil menutup bahagian dadanya dengan selimut. Cepat-cepat Zam Shuardi membetulkan lipatan kain pelikatnya yang hampir terlondeh itu. Juhara terus mencapai peralatan soleknya di almari lalu mencampakkannya pada Zam Shuardi. Juhara cukup berang. Dia cukup tidak berpuas hati bila tubuhnya itu akhirnya dapat dijamah juga oleh suaminya. Zam Shuardi terus melarikan diri keluar dari bilik. Rupanya Haji Mahadi dan Hajah Ratna sudah pun berada di depan bilik mereka kerana ingin mengetahui punca jeritan Juhara tadi.
"Kenapa ni Zam?" soal Haji Mahadi terpinga-pinga.

"Takde apa-apa ayah. Juhara terkejut saja dia dapat sesuatu dari saya malam tadi. Mungkin dalam 9 bulan lagi, mak dan ayah dapat cucu baru" ujar Zam Shuardi selamba sambil tersenyum. Haji Mahadi dan Hajah Ratna turut tersenyum. Mereka mengerti maksud tersirat menantunya itu.

[BAB 5]
Akhirnya impian Zam Shuardi tercapai juga. Bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun. Muhammad Shafiq kini sudah berusia 6 tahun. Begitu pun, Zam Shuardi tetap tidak mengabaikan Shazwan. Baginya, mereka berdua sama sahaja. Lagipun, Juhara terlalu sibuk dengan kerjanya membuatkan Shazwan dan Shafiq begitu rapat dengannya. Cuma dia masih lagi berharap agar isterinya itu akan berubah. Dia tetap setia menanti.

"Mak Jah kagum dengan kau, Zam. Kau masih lagi bertahan sampai 7 tahun begini" kata Mak Jah sambil menyediakan minuman petang pada hari Ahad yang mendamaikan. Zam Shuardi tersenyum.

"Apapun dia tetap isteri saya, Mak Jah" jawab Zam Shuardi tenang sambil melayan kerenah anak-anaknya.

"Abah, tadikan kat sekolah Shazwan dapat hadiah dari cikgu tau" kata Shazwan riang. Zam Shuardi tersenyum saja dan terus memuji kepandaian anaknya itu. Shafiq turut petah berkata-kata. Ada saja perkara yang menarik perhatiannya sehinggakan Zam Shuardi kadangkala letih melayan mereka. Nasib baik mereka mempunyai datuk dan nenek yang juga sanggup melayan mereka setiap hari.

Tiba-tiba rumah mereka dikunjungi tetamu. Rupanya tetamu itu adalah Azlan, rakan sekerja Zam Shuardi di pejabat.

"Ayah dan ibu mertua kau mana?" soal Azlan ketika mereka sedang menikmati minuman petang yang disediakan oleh Mak Jah.

"Oooh, mereka ke pekan sebentar" jawab Zam Shuardi sambil menghirup kopi o panas itu. Azlan cuma mengangguk. Sebenarnya dia ada niat lain untuk berjumpa dengan Zam Shuardi.

"Macam ni lah. Aku sebenarnya tak mahu tengok kau diperbodohkan oleh isteri kau" kata Azlan membuka bicara. Wajah Zam Shuardi berubah bila mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Azlan.

"Tadi aku nampak isteri kau dengan Tengku Rashid di lobi hotel. Mereka kelihatan sungguh mesra sekali" kata Azlan serius. Zam Shuardi menggelengkan kepalanya tidak percaya. Walaupun dia tahu Juhara bukanlah seorang isteri yang baik, tapi dia enggan mempercayai Juhara sanggup menduakannya.

"Aku tak faham dengan kau, Zam. Semua orang tahu isteri kau ada skandal dengan Tengku Rashid. Aku bukan nak menghasut kau. Tapi kau harus tegas. Jangan jadi dayus, Zam" nasihat Azlan lagi sambil memberi sehelai kertas yang memaparkan nombor bilik dan alamat hotel tersebut.

"Terpulang kepada kau nak percaya atau tidak. Pergilah siasat sendiri" sambung Azlan tanpa memberitahu bagaimana dia mendapatkan nombor bilik hotel tersebut lalu meminta izin untuk pulang. Zam Shuardi kaku dan sugul. Mak Jah yang terdengar perbualan tadi pun turut bingung, kecewa dan geram. Perasaan marah sudah membuak di hati Zam Shuardi lantas dia menggenggam helain kertas tadi lalu bangun mencapai kunci kereta.

"Mak Jah jagakan anak saya sekejap" kata Zam Shuardi. Nada suaranya agak geram. Belum sempat Mak Jah bersuara, Zam Shuardi terus memecut keretanya menuju ke hotel cuba mencari kebenaran.

Zam Shuardi kini berdiri di depan bilik bernombor 34-4. Denyutan jantungnya berdegup laju. Dengan penuh rasa ingin tahu, Zam Shuardi mengetuk pintu bilik tersebut. Tak lama kemudian, seorang lelaki yang hanya bertuala membuka pintu itu. Zam Shuardi cukup kenal dengan lelaki tersebut. Lelaki yang bernama Tengku Rashid adalah anak jutawan yang baru pulang dari London kira-kira 4 bulan yang lepas atas urusan bisnes di syarikat Haji Mahadi. Dan jelas kelihatan Juhara sedang berbaring di atas katil besar.

"Kurang ajar!!!" jerit Zam Shuardi lalu menghadiahkan tumbukan tepat ke muka Tengku Rashid. Tengku Rashid tersungkur. Zam Shuardi terus melangkah masuk dalam bilik lalu menampar Juhara sekuat hatinya beberapa kali. Darah mula keluar dari hidung dan mulut Juhara yang ketakutan dan kesakitan itu.

"Kau ingat aku tunggul kat rumah??? Kau lupa aku ni masih suami kau??" marah Zam Shuardi. Dia bagaikan hilang pertimbangan. Juhara menangis ketakutan. Akhirnya Zam Shuardi menghentikan tamparannya.

"Sampai hati kau buat begini pada aku. Jika ini yang kau mahu, aku ceraikan kau dengan talak tiga!" kata Zam Shuardi melafazkan talak. Dia sudah tidak tahan lagi. Dia kemudian terus keluar dari bilik dan menuju pulang ke rumahnya semula.

Sampai saja di rumah, Zam Shuardi terus mengemaskan baju-bajunya. Dia tidak sanggup untuk tinggal lagi dalam neraka ciptaan Juhara. Dia juga mengemaskan pakaian milik Shazwan dan Shafiq. Setelah selesai, Zam Shuardi menuruni tangga dengan 2 buah beg di tangannya. Tiba-tiba dia terkejut melihat Juhara ada di bawah bersama dengan Haji Mahadi dan Hajah Ratna.

"Kau hendak ke mana Zam?" soal Haji Mahadi. Zam Shuardi tidak menjawab. Dia terus memimpin tangan anak-anaknya. Namun, belum sempat dia melangkah keluar, dia dihalang oleh Hajah Ratna dan Juhara.

"Kalau kau mahu keluar, jangan kau nak bawa cucu-cucu aku sekali!" bentak Hajah Ratna garang. Zam Shuardi merenung tepat ke arah mata ibu mertuanya. Begitu cepat sekali perangai Hajah Ratna berubah.

"Mereka anak saya. Saya ada hak. Perempuan sial ini tak layak dipanggil ibu oleh mereka!!" bangkang Zam Shuardi meninggikan suaranya sambil menuding jari ke arah Juhara.

"Jangan kau harap kau dapat ambil mereka. Kau nak bagi mereka makan apa? Pergi berambus kau dari rumah aku!!! Nanti aku panggil polis!!" jerit Juhara pula sambil menarik tangan Shazwan manakala Shafiq enggan melepaskan tangan ayahnya. Mereka berdua kebingungan dan mula menangis. Zam Shuardi menggelengkan kepalanya. Haknya cuba dinafikan. Zam Shuardi memandang ke arah Haji Mahadi meraih simpati.

Namun, Haji Mahadi hanya mampu menunduk menyembunyikan wajahnya.
Akhirnya Zam Shuardi akur. Dia tahu dia tidak mampu membawa anak-anaknya bersamanya. Pastinya keluarga Juhara tidak akan berdiam diri sekiranya Zam Shuardi bertegas mahu mengambil anaknya. Demi kebaikan Shazwan dan Shafiq, Zam Shuardi redha dan pasrah. Dia terus memeluk Shazwan dan Shafiq yang sedang menangis ketakutan itu. Dipeluknya erat sambil kucupan tidak henti-henti hinggap di pipi mereka.

"Shazwan dan Shafiq tingal sini baik-baik ye sayang. Abah nak pergi..." kata Zam Shuardi lesu.

"Abah nak pergi mana? Shazwan nak ikut!!" balas Shazwan. "Shafiq pun nak!!" kata Shafiq pula teresak-esak. Lalu didakapnya ayah kesayangan mereka. Hajah Ratna dan Juhara terus menarik tangan Shazwan dan Shafiq bagi meleraikan kasih sayang mereka. Shazwan dan Shafiq terus meronta menjerit memanggil nama ayahnya. Zam Shuardi terus meninggalkan rumah yang penuh dengan suka duka hidupnya selama ini.

Mak Jah dan Pak Kahar yang memerhati dari luar terus mengejar Zam Shuardi. Mereka cuba untuk menahan Zam Shuardi. Airmata Zam Shuardi meleleh membasahi pipinya.

"Mak Jah dan Pak Kahar jagalah anak-anak saya dengan baik. Jangan biarkan mereka jadi seperti saya ibarat sampah yang tidak ada gunanya" pesan Zam Shuardi ringkas lalu meninggalkan orang tua tersebut. Mak Jah terus menangis meratapi pemergian Zam Shuardi itu sambil memeluk Pak Kahar dan memerhati saja Zam Shuardi berlalu sehingga tidak meninggalkan bayang-bayangnya lagi.

[BAB 6]
Shafiq menghempaskan tubuhnya pada kerusi empuknya di bilik pejabatnya. Kepalanya agak pening sejak melangkah keluar dari mesyuarat syarikat yang dipengerusikan oleh ayah tirinya, Tengku Rashid. Shafiq mengeluh panjang. Hatinya sakit bagaikan dihiris pisau yang tajam. Pemuda kacak yang berusia 28 tahun itu terus mengeluh.
Tiba-tiba pintu biliknya diketuk. Rupanya Shazwan tersenyum di muka pintu.

"Kenapa masam ni, Shafiq?" tegur Shazwan lalu melabuhkan punggungnya mengadap Shafiq.

"Abang Wan sendiri dah dengarkan dalam mesyuarat tadi kan? Shafiq malu tau bila daddy malukan Shafiq depan ahli lembaga semua. Shafiq tak kisah kalau proposal Shafiq kena reject, tapi Shafiq tak seharusnya diperlakukan sebegitu. Lagi satu, Shafiq bengang gila dengan si Daniel tu. Baru setahun jagung, dah nak tunjuk lagak" marah Shafiq sambil tangannya menggenggam pen kerana geram. Seperti biasa, Shazwan hanya tersenyum.

"Abang faham perasaan Shafiq. Tapi Shafiq kena ingat, kita ni anak tiri saja. Sudah tentu daddy akan menangkan Daniel sebab dia anak kandung daddy" pujuk Shazwan lembut. Dia faham benar dengan perasaan dendam Shafiq terhadap Tengku Daniel. Shafiq merenung wajah abangnya itu.

"Abang Wan bolehlah cakap macam ni sebab abang tak rasa apa yang Shafiq rasa. Walaupun kita anak tiri Tengku Rashid, tapi Shafiq perasan yang selama ini hanya Abang Wan yang daddy sayang selain Daniel dan Hazlyn. Dari dulu lagi Shafiq perasan!" kata Shafiq meluahkan segala isi hatinya yang terpendam itu. Shazwan bagaikan terpukul dengan kata-kata adik kesayangannya. Tapi memang betul kata Shafiq. Shazwan sendiri merasakan yang Tengku Rashid melayannya sama seperti anak-anak kandungnya yang lain tetapi tidak Shafiq. Begitu juga dengan ibunya, jarang sekali memberi kasih sayangnya kepada Shafiq.

"Kenapa Shafiq cakap macam tu. Percayalah, sekalipun daddy nak beri abang satu Kuala Lumpur ni, abang takkan pernah nak lupakan Shafiq sebab you are the only brother I ever had" pujuk Shazwan lalu bangkit meninggalkan Shafiq. Biarlah Shafiq bersendirian ketika ini. Belum sempat Shazwan melangkah keluar, Shafiq pantas bersuara.
"Shafiq minta maaf, bang" ucap Shafiq nada kesal. Shazwan sempat menoleh dan memberikan senyuman buat Shafiq.

[BAB 7]
"Shafiq nak pindah, mummy" kata Shafiq sambil menyuapkan nasi ke dalam mulutnya ketika makan malam bersama keluarganya. Juhara terkejut. Begitu juga dengan Shazwan. Cuma Tengku Rashid, Tengku Daniel dan Tengku Hazlyn tidak menunjukkan sebarang reaksi.

"Shafiq nak pindah mana? Apa rumah ni tak cukup besar sampai Shafiq nak pindah keluar?" soal Juhara hairan bercampur geram.

"Ala mummy, biarlah Abang Shafiq nak pindah" perli Tengku Daniel biadap. Kata-kata Tengku Daniel disambut hilai tawa nakal dari Tengku Hazlyn. Shafiq cukup jelik dengan perangai mereka.
"Takkan pasal siang tadi kau dah nak pindah. Macam mana nak maju kalau tak boleh terima kritikan?" marah Tengku Rashid pula.

"Shafiq memang dari dulu nak pindah. Shafiq nak rasa duduk dalam rumah sendiri" jawab Shafiq penuh yakin dan bersemangat. Tengku Daniel terus ketawa bila mendengar jawapan Shafiq.

"Apa kata kalau abang Shafiq letak jawatan sekali. Tentu lagi dramatikkan?" perli Tengku Daniel yang beza umur 8 tahun dari Shafiq.

"Kau boleh tak tutup mulut kau?" pekik Shafiq geram sambil tangannya menghunuskan garfu ke arah Tengku Daniel. Shazwan hanya mampu membisu sahaja.

"Shafiq!!!! Apa ni? Kau buat aku hilang mood untuk makan malam ni!!!" jerit Tengku Rashid bila melihat tingkah laku Shafiq yang menaikkan darahnya. Tengku Rashid terus meninggalkan meja makan.

"Tengok Shafiq!! Apa yang kau telah buat ni?? Umur dah meningkat tapi perangai macam budak sekolah!!!" marah Juhara pula bila melihat suaminya berlalu pergi. Shafiq menahan api kemarahannya. Ada saja kesilapan yang dicari oleh semua orang untuk mengenakannya. Tanpa banyak bicara, Shafiq turut meninggalkan makan malamnya. Shazwan hanya mampu melihat Shafiq berlalu pergi.

"Abang Shafiq memang melampau, mummy" kata Tengku Hazlyn selamba sambil meneguk air oren di tangannya. Juhara menggelengkan kepalanya mengenang perihal anak-anaknya.

Shafiq menghempaskan pintu biliknya. Dia cukup marah dan geram sekali. Dia bagaikan ingin sahaja keluar meninggalkan penjara dunia ini. Sudah lebih 20 tahun dia menahan sabar duduk dalam mahligai besar ini namun dia sebenarnya tidak bahagia.

Shafiq segera mengambil wudhuk dan terus menunaikan solat Isyak dan diikuti dengan membaca Al-Quran untuk menenangkan hatinya yang panas itu. Alhamdulillah, Allah telah melembutkan dan menenangkan semula hatinya itu.

Sebelum tidur, Shafiq mencapai suratkhabar hari ini yang belum sempat dibacanya. Sehelai demi sehelai helaian surat khabar itu diselak. Tiba-tiba hati Shafiq berdegup pantas bila membaca satu berita kemalangan di Perak. Matanya seakan tidak percaya bila melihat nama mangsa kemalangan tersebut. Nama yang cukup tidak asing buatnya. Dan tidak mungkin ada orang lain yang mempunyai nama sebegini unik.

Shafiq terus melangkah keluar menuju ke bilik abangnya namun tiada kelibat Shazwan di sana. Shafiq terus menanyakan kepada Hilma, orang gajinya di mana Shazwan berada. Rupanya Shazwan bersama ibu, ayah tirinya dan kedua-dua adik tirinya berada di laman rumah. Shafiq segera berlari pantas menuju ke laman rumah. Sampai saja di sana, Shafia terus mendapatkan Shazwan.
"Abang Wan, tengok paper ni. Abah masih hidup!!!" jerit Shafiq kegembiraan. Mereka yang berada di laman terkejut dengan jeritan Shafiq apatah lagi dengan berita yang dibawa olehnya. Shazwan terus merampas surat khabar dari tangan Shafiq. Dia membacanya dengan tekun sekali. Shazwan menunjukkan wajahnya yang seakan tidak percaya.

"Ya Allah! Abah masih hidup lagi" jerit Shazwan pula sambil memeluk adiknya. Juhara yang terpinga-pinga tadi turut membacanya. Memang benar kata Shafiq dan Shazwan. Dalam berita itu, terselit nama Zam Shuardi sebagai mangsa kemalangan ngeri itu.

Namun, Zam Shuardi masih hidup cuma kini dia terlantar di hospital akibat cedera parah yang dihadapinya akibat kemalangan jalan raya semalam. Ternyata berita itu memecahkan tembelangnya yang selama ini dia membohongi Shazwan dan Shafiq bahawa ayah mereka sudah meninggal dunia setelah seminggu meninggalkan mereka kira-kira 22 tahun yang lepas.

"Abang, mari kita ke sana sekarang" cadang Shafiq sambil dipersetujui oleh Shazwan. Namun, hajat mereka segera dihalang oleh Juhara.

"Kamu berdua jangan mengada-ngada hendak jumpa dengan dia. Tidak kamu tahu yang dia sudah tinggalkan kamu berdua dulu?" halang Juhara yang cuba mengungkit kisah lama.

"Apapun dia tetap ayah kami, mummy" kata Shazwan cuba mempertahankan hak mereka.
"Dia bukan ayah kamu, Shazwan!!" tiba-tiba Tengku Rashid bersuara. Shazwan bagaikan terpukul bila mendengar kata-kata ayah tirinya itu.

"Ya Shazwan. Sebenarnya Zam Shuardi itu bukan ayah kamu. Kalau kamu nak tahu daddy itu ayah kandung kamu" cerita Juhara berterus terang. Shafiq dan Shazwan saling berpandangan. Tanpa membuang masa, Juhara menceritakan semula tentang kisahnya kepada Shazwan. Shazwan terpaku. Dia bagaikan tak percaya yang statusnya selama ini rupanya adalah anak luar nikah. Tengku Daniel dan Tengku Hazlyn turut terperanjat. Patutlah selama ini Tengku Rashid memberi perhatian kepada Shazwan.

"Habis, Shafiq anak siapa?" soal Shazwan ingin tahu.
"Hanya Shafiq satu-satunya anak mummy dengan Zam Shuardi" jawab Juhara perlahan. Shafiq menggelengkan kepalanya. Baru kini dia faham mengapa hanya dia sering disisihkan dan bukan Shazwan.

"Abang Wan nak ikut saya pergi jumpa abah ke tidak?" terpacul soalan dari mulut Shafiq meminta jawapan dari Shazwan. Shazwan dalam keadaan serba salah dan cukup keliru. Shafiq mengerti lalu bergegas naik ke bilik untuk bertukar pakaian dan kemudian dia kembali turun mendapatkan kereta Honda CRV miliknya.

"Shafiq, jangan kau nak keluar pergi jumpa ayah kamu" kata Tengku Rashid memberi amaran. Shafiq tersenyum mendengar amaran ayah tirinya.

"Apa daddy peduli? Shafiq bukannya anak daddy kan?" balas Shafiq biadap. Dek kerana jawapan yang diberikan kasar, tangan Tengku Rashid menyinggah ke pipi Shafiq. Namun, Shafiq tidak merasa sakit langsung. Semangatnya mengatasi segalanya.
"Selangkah kau keluar, kau bukan lagi keluarga di sini. Jangan harap kau boleh hidup senang!" kata Tengku Rashid memberi amaran sekali lagi. Kali ini Shafiq benar-benar nekad. Juhara terus menengking Shafiq.

"Beranilah kau cari lelaki tu!! Mummy tak izinkan kau jumpa dia!! Kalau keputusan ini yang kau nak, jangan kau jejak lagi rumah ini!!" kata Juhara cuba mengugut anaknya itu.
"Selama ini memang saya bukan milik keluarga ini" jawab Shafiq berani lalu masuk ke dalam kereta dan terus berlalu pergi meninggalkan neraka ciptaan mereka.

[BAB 8]
Perjalanan Shafiq dari Kuala Lumpur ke Ipoh mengambil masa 2 jam setengah. Sepanjang perjalanan, hatinya cukup berdebar-debar. Shafiq tidak lekang berdoa agar nyawa ayahnya dipanjangkan oleh Yang Maha Kuasa. Shafiq hanya memikirkan ayahnya sahaja.

Ketika Shafiq tiba di Hospital Besar Ipoh, jam sudah pun menunjukkan pukul 11.30 malam. Shafiq tidak pasti adakah dia akan dibenarkan untuk melawat ayahnya. Sekali lagi Shafiq berdoa agar ianya dipermudahkan. Nasib Shafiq baik apabila secara kebetulan dia bertemu dengan kenalan lamanya, Dr. Helmi yang sedang bertugas malam itu. Shafiq terus menceritakan niatnya. Dr. Helmi faham dan terus membenarkan Shafiq bertemu dengan ayahnya di wad tingkat 3.

Shafiq terus bergegas ke wad yang menempatkan insan teristimewa di hatinya selama ini. Perlahan-lahan Shafiq memasuki bilik tersebut. Dilihatnya terdapat 4 orang tetamu sedang menemani di bilik itu. Hati Shafiq sayu bila melihat sekujur badan sedang berbaring di atas katil. Ternyata, orang itu pastinya Zam Shuardi, ayah Shafiq. Keadaannya sangat menyayatkan hati. Muka Zam Shuardi dipenuhi calar. Banyak anggota badannya dibalut kerana luka yang agak parah. Shafiq menjadi pilu. Kehadiran Shafiq disedari oleh keempat-empat orang di dalamnya.

"Maaf, encik ni siapa?" soal salah seorang darinya. Lelaki yang berusia lingkungan 40-an itu ternyata musykil dengan kehadiran Shafiq. Shafiq terus bersalaman dengan lelaki terbabit.

"Nama saya Shafiq, pak cik" jawab Shafiq lembut memperkenalkan diri. Rupanya suara Shafiq itu telah didengari oleh Zam Shuardi.

"Ali...siapa datang tu?...Aku dengar nama dia Shafiq...Betul ke?" Zam Shuardi bersuara tersekat-sekat di katil. Matanya yang pejam dicuba celikkan perlahan-lahan. Sesekali nafas Zam Shuardi mengiringi kata-katanya. Seorang gadis remaja yang berada di situ cuba menenangkan Zam Shuardi. Lekas-lekas Shafiq merapati katil dan bertentang mata dengan ayahnya buat pertama kali sejak 20 tahun yang lalu.

"Abah....." ucap Shafiq perlahan menahan sebak. Zam Shuardi tersenyum mendengar kata-kata keramat dari seorang pemuda di hadapannya. Dia yakin orang itu pastinya anak kandungnya yang ditinggalkan dahulu.

"Shafiq?...Shafiq anak abah?" soal Zam Shuardi menggagahkan pertuturannya. Lantas Shafiq terus menundukkan badannya dan terus mendakap ayahnya yang selama ini dirinduinya. Air mata Shafiq terus berlinangan. Zam Shuardi pula mampu mengangkat tangannya dan terus mengusap rambut anak yang dirinduinya. Perlakuan dua beranak itu mendatangkan kehairanan kepada 4 orang yang berada di sisinya. Mereka ternyata terkejut sekali dengan kejadian itu.

"Shafiq, mana Shazwan, nak?...Abah rindu pada dia.." tanya Zam Shuardi bila menyedari kehadiran Shafiq tanpa ditemani oleh sesiapa. Shafiq terharu. Biarpun Shazwan bukan anak kandung Zam Shuardi, namun Zam Shuardi masih lagi sudi menyayangi Shazwan. Shafiq mengelap air matanya. Dia cuba tersenyum.

"Abang Shazwan ada kat Kuala Lumpur. Dia sibuk, lagipun kami sudah tahu kisah sebenar, abah" ujar Shafiq berterus terang. Zam Shuardi mengerti.

"Shafiq, abah nak perkenalkan dengan adik-adik kau...Cuba Shafiq tengok wajah Syahrul...Ada iras wajah Shafiq..." kata Zam Shuardi tersekat-sekat sambil tangannya menunjukkan kedua-dua anaknya yang berada di sisi. Shafiq memandang mereka. Rupanya gadis remaja itu anak Zam Shuardi. Begitu juga dengan seorang remaja lelaki yang berdiri bersandar pada dinding. Jelas kelihatan mata mereka turut berlinangan.
"Ali...Rosma...Inilah anak aku yang aku ceritakan dahulu.." kata Zam Shuardi disusuli dengan batuk yang agak kuat. Shafiq mengusap dada ayahnya perlahan-lahan.

"Abah...Kenapa abah tinggalkan Shafiq dulu?" soal Shafiq ingin kepastian. Zam Shuardi hanya tersenyum. Tangannya memegang pipi anaknya itu.

"Maafkan abah nak....Abah tak mampu...Tapi abah sentiasa ingatkan Shafiq dan Shazwan..." jawab Zam Shuardi ringkas. Matanya juga berlinang dengan air mata.
"Shafiq juga nak minta maaf abah sebab Shafiq tak pernah mencari abah. Shafiq benar-benar rindukan abah" kata Shafiq menangis mengeluarkan air mata jantannya. Zam Shuardi bersyukur kerana dipertemukan dengan anak bujangnya yang selama ini entah di mana. Cuma dia terkilan tidak dapat bertemu dengan Shazwan.

Jam sudahpun melepasi pukul 12 tengah malam. Shafiq bersama keempat-empat tetamu di situ membaca yassin bersama-sama. Keadaan Zam Shuardi sangat tenat kerana kecederaan yang dialaminya parah. Dr. Helmi turut berada di situ melihat perkembangan Zam Shuardi.

Kedua-dua anak Zam Shuardi merapati ayahnya dan mereka bertiga berbisik di antara satu sama lain. Tiba-tiba Zam Shuardi memanggil Shafiq ke sisinya.

"Shafiq, kalau abah sudah tiada.....Kau jagalah adik-adik kau. Mereka masih kecil lagi...Bahagiakan mereka dengan kasih sayang kau, nak...Kaulah satu-satunya untuk mereka...Berjanji pada abah ye nak?" pinta Zam Shuardi dengan nada perlahan. Tangannya menggenggam erat tangan Shafiq.

"Shafiq janji, abah" janji Shafiq agar tidak melukakan hati ayahnya itu. Dia sendiri tidak tahu apakah yang dijanjikannya itu.

Akhirnya, Zam Shuardi tewas juga. Dia kini sudah mengadap panggilan Ilahi. Mereka yang berada di dalam meratapi pemergian Zam Shuardi buat selama-lamanya. Begitu juga dengan Shafiq. Dia hanya sempat meluangkan masa bersama dengan ayahnya hanya sekejap sahaja. Shafiq redha dengan kematian ayah yang sangat dirinduinya.

"Shafiq, ayah kau ada berpesan agar dia dikebumikan segera selepas kematiannya. Jadi, kita sempurnakan hajatnya malam ini juga. Biarlah urusan jenazah nanti dibuat di rumah pak cik. Dan lagi satu, dia ingin bersemadi bersebelahan dengan isterinya yang meninggal semalam sebab kemalangan itu juga" kata lelaki yang bernama Ali itu sambil memeluk remaja lelaki yang sedang menangis itu. Shafiq hanya mengangguk. Perlahan-lahan dia menoleh ke arah Zam Shuardi yang sudah tidak bernyawa itu. Shafiq makin sebak.

[BAB 9]
Urusan pengebumian Zam Shuardi selamat disempurnakan biarpun jam sudah pun pukul 4 pagi. Shafiq turut mengiringi pengurusan jenazah ayahnya. Suasana gelap malam itu diterangi dengan lampu-lampu yang dibawa oleh penduduk Kampung Sidang, Lenggong. Shafiq dapat melihat kesedihan yang melanda penduduk kampung di situ. Setelah selesai, Shafiq kembali semula ke rumah Ali.

"Pak cik, boleh saya tahu macam mana abah boleh sampai ke kampung ini?" soal Shafiq ingin tahu. Ali pun terus menceritakan kisah sedih perjalanan hidup Zam Shuardi. Menurut cerita Ali, setelah menceraikan isteri pertamanya, Zam Shuardi merantau ke Pulau Pinang untuk mencari kerja. Di sana, Zam Shuardi telah berkenalan dengan Rugayah, seorang gadis miskin yang turut bekerja di sana. Akhirnya mereka berdua berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan. Akibat perbelanjaan yang tinggi di sana, mereka sekeluarga telah berpindah ke tanah milik arwah ayah Rugayah di sini dan seterusnya memiliki keluarga yang besar di sini.

Bagaimanapun kehidupan sederhana mereka dikejutkan dengan kecederaan Zam Shuardi yang jatuh pokok ketika mengambil upah mengambil kelapa. Akibat kemalangan itu, Zam Shuardi menjadi lemah dan tidak boleh berdiri lama. Kehidupan mereka sekeluarga terus dihimpit malang. Dua anak pertama mereka terpaksa berhenti sekolah kerana Zam Shuardi tidak mampu menanggung kos sekolah anak-anaknya yang lain. Begitulah seharian hidup mereka sehinggalah kemalangan maut jalan raya yang meragut nyawa Zam Shuardi dan Rugayah.

"Itulah semua adik-adik kamu, Shafiq. Yang di hospital tadi Syakila dan Syahrul. Dan yang kecil-kecil itu Syahida, Syafina, Syakir dan yang kecil tu Syariza" sambung Ali sambil memperkenalkan anak-anak Zam Shuardi yang lain. Shafiq hanya mampu memandang mereka dari jauh. Mereka asyik menangis sahaja sejak tadi. Mujur Syakila dan Syahrul dapat memujuk adik-adik mereka.

"Mereka hidup susah. Sudahlah miskin kini anak yatim piatu pula. Pak cik tak tahu apalah nasib diorang nanti. Tapi tadi Shafiq janji dengan abah Shafiq nak jaga mereka kan?" soal Ali lagi. Shafiq terdiam lalu teringatkan janjinya pada arwah ayahnya. Tiba-tiba dia rasa serba salah.

"Bolehkah pakcik dan makcik menjaga diorang?" kata Shafiq perlahan.
"Memang kalau kami mampu, makcik tak kisah. Tapi kehidupan kami sendiri pun cukup-cukup makan saja" kata Rosmah, isteri Ali pula.

"Saya tak sanggup pikul beban ini pakcik. Hidup saya di KL pun belum tentu baik lagi. Ianya terlalu mustahil buat saya" ujar Shafiq berterus-terang. Ali dan Rosmah terkejut dengan kata-kata Shafiq. Begitu juga dengan Syakila dan Syahrul.

"Kami pun tak harap awak nak jaga kami adik beradik. Saya dan Kak Ila masih mampu beri makan adik-adik kami. Cuma jangan pandai nak berjanji dengan abah kalau diri sendiri tak sanggup!!" kata Syahrul geram lalu bangun. Syahrul rasa seperti ditipu sahaja. Shafiq tersentak mendengar kata-kata Syahrul. Syakila menangis. Dia menyuruh adiknya itu bertenang.

"Maafkan saya pakcik. Saya harus pulang ke KL sekarang" kata Shafiq meminta izin untuk pulang. Lantas dia bangun meninggalkan rumah Ali. Keretanya terus dipandu laju meninggalkan kampung tempat ayahnya selama ini mencari rezeki. Shafiq tidak sanggup lagi berdepan dengan masalah baru sedangkan masalah lamanya di Kuala Lumpur belum diselesaikan. Ditinggalkan Kampung Sidang itu dengan seberapa segera yang boleh. Sekali lagi airmatanya bercucuran mengenangkan arwah ayahnya itu.

[BAB 10]
Shafiq resah menunggu kedatangan Shazwan di restoran berhampiran dengan pejabatnya. Dilihatnya jam sudahpun pukul 11 pagi. Shafiq berasa sangat mengantuk namun digagahkan jua matanya itu.

"Sorry Shafiq. Abang lambat sikit. Takut daddy dapat tahu yang abang nak jumpa Shafiq" tegur Shazwan mengejutkan lamunan Shafiq. Shafiq cuba tersenyum. Shafiq segera menceritakan tentang kematian ayahnya.

"Abang minta maaf sebab abang tak dapat ikut Shafiq malam tadi. Abang betul-betul keliru" ujar Shazwan kesal yang teramat sangat. Shafiq menepuk-nepuk bahu Shazwan. Shafiq mengerti kekeliruan abangnya itu.

"Shafiq, kau kini dalam masalah yang besar. Tadi daddy arahkan Daniel agar menguruskan semua akaun bank kau dihentikan serta merta. Segala kad kredit milik kau juga dihentikan" bisik Shazwan perlahan. Shafiq tidak memberikan sebarang reaksi. Dia sudah agak perkara ini mesti berlaku kerana sejak dulu lagi Shafiq diugut sebegini oleh ayah tirinya.

"Shafiq sudah agak" jawab Shafiq perlahan. Shazwan simpati dengan nasib yang menimpa adiknya itu.

"Abang janganlah risau. Sebenarnya Shafiq mempunyai wang simpanan di akaun Tabung Haji. Sudah lama Shafiq menyimpannya, bang. Lagipun Shafiq ada melabur wang simpanan itu dalam saham. InsyaAllah cukup buat Shafiq sementara Shafiq cari kerja baru" beritahu Shafiq kepada abangnya itu. Shazwan kembali tersenyum. Dia tahu Shafiq memang bijak merancang ekonomi kehidupannya.

"Baguslah kalau macam tu, Shafiq boleh bagi nombor akaun Shafiq kepada abang. Nanti abang boleh masukkan wang ke akaun Shafiq" ujar Shazwan. Shafiq cukup gembira dan berterima kasih kepada Shazwan.

"Buat masa ini, Shafiq akan cari rumah sewa. Tapi abang kena tolong saya ambilkan segala sijil-sijil saya di rumah. Boleh?" pinta Shafiq mengaharapkan bantuan abangnya. Shazwan terdiam sebelum berani bersuara.

"Daddy dah bakar semua sijil-sijil Shafiq malam tadi malah dia juga akan pastikan pihak universiti tidak akan mengeluarkan salinan buat Shafiq sekiranya Shafiq memohon" kata Shazwan perlahan. Shafiq terkedu. Tidak disangkanya Tengku Rashid tergamak membuat perkara kejam sebegitu padanya.

"Sabarlah Shafiq" pujuk Shazwan lagi. Shafiq menarik nafas panjang.

[BAB 11]
Shafiq terjaga dari tidur. Dia mengucap panjang. Bajunya dibasahi peluh walaupun didingini dengan penghawa dingin di bilik sewanya. Sekali lagi mimpi yang sama berulang walaupun sudah hampir 4 bulan arwah ayahnya kembali ke rahmatullah. Lantas Shafiq bangun lalu menuju ke dapur untuk meneguk sedikit air bagi membasahkan tekaknya. Sampai di dapur, dia terus duduk di meja makan sambil meminum air. Tiba-tiba rakan serumahnya, Izman baru pulang dari kerja.

"Aik? Kau tak tidur lagi Shafiq? Dah pukul 2 pagi ni" tegur Izman yang bekerja sebagai juruwang di kedai 7-Eleven lalu duduk mengadap Shafiq. Shafiq diam saja.
"Kau mimpi arwah ayah kau lagi ke?" soal Izman mengagak. Shafiq hanya mengangguk saja sambil jarinya bermain-main pada gelas yang sudah kosong itu.

"Aku pun tak tahu kenapa wajah arwah abah aku selalu bermain dalam mimpi aku. Mukanya kelihatan sedih saja. Aku tak tahu apa sebabnya" kata Shafiq perlahan. Dia sebenarnya sangat sedih bila memikirkan mimpinya itu.

"Mungkin dia sedih sebab impiannya tak tercapai? Atau mungkin kau tidak tunaikan hajatnya atau janji kau padanya sebelum dia meninggal?" jawab Izman cuba untuk mencari kepastian. Mendengar kata-kata Izman itu membuatkan Shafiq teringat sesuatu.
"Mungkin juga" ujar Shafiq ringkas.
"Maksud kau?" soal Zamil ingin tahu.

"Mungkin aku tak tunaikan janji aku kepada ayah aku supaya menjaga anak-anaknya bila dia meninggal" kata Shafiq berterus terang. Dia tahu mungkin inilah kesilapannya.
"Anak-anak ayah kau? Maksud kau, adik-adik tiri kau? Di mana mereka sekarang?" tanya Izman bertubi-tubi kepada Shafiq.

"Entah. Mungkin diorang ada di kampung. Aku pun tak pasti" jawab Shafiq perlahan. Tiba-tiba perasaan kesal menusuk ke dalam hatinya. Satu persatu wajah-wajah mereka mula bermain dalam ingatannya biarpun baru sekali dia bersua muka dengan mereka.
"Ya Allah, apa punya abang kau ni? Sanggup kau membiarkan mereka terkontang-kanting di sana. Meskipun mereka adik tiri kau, tapi mereka tetap adik kau!! Berapa ramai mereka? Siapa yang jaga mereka?" balas Izman agak keras. Dia sememangnya pantang mendengar cerita sebegini.

"Ada enam semuanya. Aku rasa kakak mereka yang paling tua menjaga diorang" jawab Shafiq tidak pasti. Izman terus menggelengkan kepalanya.

"Aku rasa baik kau pergi lihat adik-adik kau di sana. Entah makan ke tidak mereka. Lagipun sudah 4 bulan kau di sini. Kerja pun kau masih tak dapat lagi, hidup kau pun aku tengok tunggang-langgang. Aku tahu duit kau masih banyak lagi tapi apa gunanya kalau kau tak bahagia. Mana tahu mungkin kau akan perolehi ketenangan di sana. Ingat, kau dah pun berjanji dengan ayah kau. Janji kena tunaikan!" nasihat Izman kepada rakan serumahnya. Shafiq merebahkan kepalanya di atas meja sambil mengeluh panjang. Ada benar juga kata-kata Izman itu. Dia rasa sangat berdosa membiarkan hidup adik-adiknya terumbang ambing di sana. Hati kecil Shafiq berbisik. Ya, aku perlu pulang ke sana!! Pulang untuk menunaikan janji aku kepada abah!!!

[BAB 12]
Jam sudah pun pukul 3 petang. Shafiq masih lagi tercari-cari rumah Ali. Shafiq ingat-ingat lupa di mana kedudukan rumah Ali di Kampung Sidang. Akhirnya Shafiq mengambil keputusan memberhentikan kereta Honda CRV miliknya di tepi warung kecil. Perut Shafiq sudah berkeroncong. Ketika Shafiq sedang menikmati nasi goreng, Shafiq sempat bertanya kepada pelanggan warung yang duduk di sebelah mejanya.

"Assalamualaikum pakcik. Saya nak tanya di mana rumah Pakcik Ali?" soal Shafiq lembut.
"Dekat kampung ni ramai nama Ali. Ali yang mana satu kamu nak jumpa?" tanya lelaki yang berusia separuh abad itu. Shafiq tidak tahu bagaimana ingin menerangkan orang yang ingin dicarinya kerana dia hanya mengenali nama Ali sahaja.

"Hmmm, saya tak pasti. Tapi pakcik tahu rumah Zam Shuardi?" soal Shafiq untuk menyenangkan kerja.
"Oooh, rumah dia kat sana. Kamu cari je rumah buruk, itulah rumah dia. Tapi dia dah meninggal" beritahu lelaki itu sambil ketawa. Shafiq tidak mengerti mengapa lelaki tua itu ketawa sendirian.

"Hah, itupun anak Zam Shuardi!!!" kata lelaki itu lagi sambil menunjukkan tangannya ke arah jalan. Shafiq dapati seorang perempuan sedang berjalan berseorangan diri di sana. Lekas-lekas Shafiq membayar makanannya lalu menuju ke keretanya. Kemudian, keretanya dipandu perlahan sehingga mendekati perempuan itu. Shafiq segera menurunkan cermin keretanya. Ternyata Shafiq mengecam wajah perempuan itu.

"Assalamualaikum. Ini Syakila kan?" soal Shafiq dari dalam kereta. Perempuan itu terkejut bila melihat wajah Shafiq.
"Ehh, Abang Shafiq" jawab perempuan yang bernama Syakila itu. Dia seakan tidak percaya. Lantas, Shafiq mengajak Syakila masuk ke dalam keretanya. Tanpa banyak membantah, Syakila menerima pelawaan Shafiq.

"Syakila nak ke mana?" soal Shafiq ingin tahu.
"Ila nak balik rumah. Apa Abang Shafiq buat kat sini?" tanya Syakila perlahan. Dia agak gementar berbual dengan Shafiq.
"Abang datang nak jumpa kamu semua. Boleh Ila tunjukkan jalan ke rumah?" kata Shafiq pula. Syakila hanya menganggukkan sahaja kepalanya.

[BAB 13]
"Jemput masuk, bang" pelawa Syakila sambil menaiki anak tangga membuka pintu rumahnya. Shafiq tergamam. Inikah rumah mereka selama ini? Rumah ini terlalu usang untuk didiami seolah-olah menanti rebah ke bumi. Sekali pandang seperti reban ayam dan tidak layak dipanggil rumah. Shafiq betul-betul terperanjat melihat keadaan rumah papan ini.

"Abang Shafiq, marilah masuk" ajak Syakila lagi mengejutkan lamunan Shafiq. Shafiq terus membuka kasutnya dan perlahan-lahan mendaki tangga dan terus duduk di anjung rumah.
"Inilah rumah kami selama 15 tahun di sini. Erhhh, abang nak minum?" tanya Syakila sopan.
"Takpe. Abang dah minum di warung tadi. Syakila duduk lah dulu" kata Shafiq sambil matanya terus meliar ke sini sana. Syakila terus duduk bersimpuh mengadap Shafiq.
"Sunyi je rumah ni. Mana yang lain?" soal Shafiq kehairanan bila dia tidak melihat satu pun kelibat kanak-kanak di dalam rumah. Syakila menundukkan kepalanya.
"Mereka semua ada di rumah anak yatim" kata Syakila perlahan cuba menyembunyikan wajahnya yang sedih. Tanpa disangka, air matanya bercucuran. Shafiq terkejut mendengar kata-kata Syakila.

"Orang kampung yang menghantar adik-adik ke sana kerana Ila dan Syahrul tidak mampu untuk menjaga mereka. Puas kami merayu, namun mereka tetap dihantar ke sana. Ila tidak mahu berpisah dengan mereka" kata Syakila menangis. Nafasnya tersekat dan pertuturannya tidak jelas kerana hatinya sebak mengenangkan nasib adik-adiknya.
"Ila duduk sini seorang diri?" soal Shafiq ingin tahu. Perasaan kesal menyelubungi sanubarinya.

"Tak...Ila ada Syahrul. Hanya kami berdua saja" jawab Syakila lalu mengesat air matanya yang bercucuran bagaikan hujan itu.
"Hmmm, berapa umur Ila dan Syahrul?" tanya Shafiq lagi bila melihat Syakila kembali tenang.
"Umur Ila 18 tahun. Syahrul pula 16 tahun. Kami hanya sekolah sampai darjah enam saja" jawab Syakila pula.
"Sekarang ni Ila dan Syahrul buat apa?" soal Shafiq lagi. Dia seboleh-bolehnya mahu mengetahui perkembangan mereka berdua.

"Ila sekarang kerja mengambil upah menoreh getah. Setiap minggu pula, Ila bekerja di pasar malam bantu menjual sayur. Tapi kalau ada kerja seperti basuh pinggan, cuci baju Ila akan ambil. Syahrul pun macam tu. Cukuplah untuk kami berdua hidup. Tapi sekarang ni, Syahrul ada di Alor Star jadi kelindan lori menggantikan orang kampung ni sekejap. Mungkin minggu depan baru dia balik" cerita Syakila panjang lebar. Shafiq cukup terharu dengan kegigihan Syakila dan Syahrul dalam menghadapi onak untuk menyara hidup mereka yang masih muda itu. Sifat mereka berlainan sungguh dengan kehidupan yang dikecapi Tengku Daniel dan Tengku Hazlyn yang selama ini dimanjakan dengan kemewahan.

"Kalau abang Shafiq tak keberatan, boleh Ila tahu kenapa abang datang ke mari?" soal Syakila tiba-tiba. Shafiq terkedu sebentar. Dia bagaikan tiada jawapan untuk diberikan kepada Syakila.
"Errrh, abang saja datang nak ziarah kubur abah" jawab Shafiq berselindung. Dia sebenarnya masih dalam dilema untuk tinggal di sini sahaja ataupun pulang saja ke Kuala Lumpur.
"Abang tidur sini malam ni?" tanya Syakila.

"Hmmm, boleh juga" balas Shafiq tersenyum. Syakila turut tersenyum. Kemudian Shafiq pun masuk ke dalam rumah. Dia berasa cukup sedih melihat keadaan di dalamnya. Banyak dindingnya berlubang-lubang. Begitu juga dengan atap mereka. Barang-barang di sini agak sikit. Tetapi Shafiq kagum dengan kebersihan dalam rumah ini. Walaupun keadaannya menyedihkan, tetapi Syakila bijak menjaga rumahnya. Tiada yang berselerak. Shafiq cuba menghidupkan suis lampu namun tidak menyala.

"Kami dah 10 tahun tak pakai elektrik, bang. Air pun guna perigi saja" kata Syakila bila melihat reaksi Shafiq terhadap rumah mereka. Shafiq mengangguk saja. Dia kemudian berjalan menuju ke dapur. Rumah ini hanya mempunyai satu bilik sahaja. Shafiq dapat melihat dapur rumah ini sederhana sahaja. Mereka rupanya masih menggunakan kayu api sahaja untuk memasak.

"Abang kalau nak mandi, guna perigi belakang rumah ye. Maaflah kalau ianya menyusahkan abang" kata Syakila tersenyum. Shafiq mengerti. Tiba-tiba perasaan ingin membela nasib mereka mula menyinar dalam hatinya. Ya, dia cukup yakin sekarang.
"Syakila, besok kita ke rumah anak yatim. Kita ambil mereka semula" kata Shafiq dengan penu yakin.

"Tapi bang, mesti orang di pusat kebajikan enggan mengembalikan mereka. Diorang tahu Ila dan Syahrul tidak mampu memberi mereka makan" kata Syakila perlahan seolah-olah sudah putus harapan.

"Tidak. Bukan Ila atau Syahrul yang akan beri makan. Biar abang saja yang menjaga kamu semua. Maksud abang, adik-adik kita! Beri peluang untuk abang menebus dosa abang yang membiarkan adik-adik abang terpisah!" ucap Shafiq sambil memegang bahu Syakila. Shafiq mahu kembalikan segala kebahagian mereka adik-beradik yang hilang dahulu. Syakila menangis serta merta sebaik saja Shafiq melafazkan janji kebahagian dan perangsang buat Syakila dan adik-adiknya. Syakila terus memeluk abangnya itu.

[BAB 14]
Malam itu, Shafiq membawa Syakila menikmati juadah malam di pekan Lenggong. Syakila kelihatan cukup berselera sekali. Shafiq pula cukup gembira dengan keputusannya itu. Baginya, hidup bersama adik-adiknya perlu diteruskan. Tiada guna berpaling ke belakang lagi. Dengan wang simpanannya di Tabung Haji, Shafiq yakin ianya mampu menampung perbelanjaan mereka adik-beradik. Shafiq juga bertekad untuk mencurahkan keringatnya di kampung ini. Mungkin inilah satu-satunya cara dia dapat membalas kerinduan terhadap kasih ayah kesayangannya selama ini.

Syakila pula merasakan sinar kebahagian akan mula terpancar esok hari. Dia seakan tidak sabar bertemu dengan adik-adiknya. Syakila juga yakin insan yang berada di hadapannya akan sentiasa membahagiakan kehidupan mereka kelak. Ya, Shafiq sememangnya abangku! Bisik hati kecil Syakila.

Setelah perut mereka kekenyangan, mereka pulang ke rumah. Dalam perjalanan ke sana, kereta Shafiq telah menarik perhatian Samad, pemuda kampung yang menaruh hati kepada Syakila. Samad merasa cukup musykil bila melihat Syakila bersama dengan lelaki kacak di dalam kereta. Samad merancang untuk menyiasat.

Sampai saja di rumah, Shafiq dan Syakila terus memasuki rumah mereka. Syakila menyalakan lampu minyak tanah buat Shafiq. Kegelapan malam itu dapat diterangi dengan sedikit cahaya dari lampu minyak tanah itu. Kemudian Syakila menyalakan lagi pelita-pelita kecil untuk menerangi dapur mereka pula. Keadaan ini cukup asing buat Shafiq namun dia perlu sedar kerana inilah keputusan hidupnya. Syakila menyediakan tilam dan bantal buat Shafiq di ruang utama rumah usang itu.
"Abang Shafiq tidurlah dulu. Seharian abang tak tidur lagi kan? Kalau abang rasa panas, abang bukalah tingkap. Ila pun nak masuk tidur dulu ye bang dalam bilik.

Assalamualaikum" kata Syakila lembut lalu meninggalkan Shafiq keseorangan di ruang tamu. Dengan bantuan cahaya yang ada, Shafiq menukar pakaiannya lalu merebahkan diri di atas tilam nipis yang dibentangkan di atas lantai. Sekejap sahaja Shafiq melelapkan matanya.

Tiba-tiba tidurnya terganggu bila pintu rumahnya diketuk dengan kuat sekali. Shafiq membetulkan ikatan kain pelikatnya lalu bangun membuka pintu. Alangkah terkejutnya Shafiq bila melihat sekumpulan lelaki sedang berdiri di luar rumahnya.
"Kan saya dah kata tok ketua. Syakila bawa balik laki masuk ke dalam rumah. Saya yakin mereka baru sahaja buat maksiat ni!" kata Samad dalam nada kasar. Kelihatan orang-orang disekelilingnya menggelengkan kepala.

"Apa ni? Awak datang ke rumah ni tanpa beri salam. Lepas tu suka-suka hati menuduh saya yang bukan-bukan" jawab Shafiq marah. Dia tidak faham apakah tujuan lelaki itu berkata sedemikian rupa.

"Macam ni encik. Saya dapat aduan dari budak Samad ni mengatakan yang Syakila membawa pulang lelaki ke rumah ini. Ternyata benarlah aduan Samad ini" kata lelaki yang berkopiah pula. Tidak lama kemudian Syakila muncul di belakang Shafiq.
"Tok ketua salah faham ni. Takkan salah saya bawa pulang abang saya sendiri ke rumah ini" kata Syakila bersuara lalu memberitahu kisah sebenar. Setelah berpuas hati dengan cerita Syakila serta disokong dengan kehadiran Ali yang menjadi saksi segala kebenaran itu, akhirnya mereka termasuk tok ketua meminta maaf kepada Syakila dan Shafiq. Kecuali Samad yang masih tidak berpuas hati. Akhirnya mereka semua pulang kecuali Ali.

"Nasib baik pakcik datang tepat pada masanya. Siang tadi makcik ada nampak kereta kamu di kampung ni. Itu sebab pakcik datang, kebetulan pula masa itu pakcik tengok kecoh di perkarangan rumah kamu" ujar Ali sambil terbatuk. Shafiq menjemput Ali naik tetapi ditolaknya dengan baik.

"Pakcik syukur sebab kamu mahu menjaga adik-adik kamu, Shafiq" ucap Ali yang cukup gembira sekali dengan khabar yang dibawa oleh Shafiq itu. Semoga niat suci Shafiq diberkati Allah, itulah doa Ali buat mereka adik beradik.

[BAB 15]
"Boleh saya bawa adik-adik saya balik hari ini?" soal Shafiq setelah meyakinkan pegawai di rumah anak yatim Seri Sayang, Tapah dengan niat sucinya. Memang permohonan Shafiq sebagai abang tiri mereka diluluskan cuma ia mungkin mengambil masa beberapa hari untuk membawa pulang Syahida, 14 tahun dan Syafina, 10 tahun. Akhirnya, impian Shafiq berjaya apabila pihak pentadbir rumah anak yatim membenarkan Shafiq membawa pulang kedua-dua adiknya itu. Syakila yang turut berada di sebelah Shafiq melahirkan rasa gembira apabila adik-adiknya akan bersatu kembali. Setelah itu, mereka berdua menunggu kehadiran Syahida dan Syafina yang kini sedang berkemas untuk pulang ke kampung.

"Kak Ila!!!!" jerit Syafina kegembiraan lalu mencampakkan begnya dan terus memeluk Syakila. Mereka berdua cukup gembira bila dipertemukan. Manakala Syahida hanya memerhatikan saja perlakuan kedua-dua saudara kandungnya itu. Wajah Syahida masam mencuka dan ini telah menimbulkan perasaan curiga kepada Shafiq. Shafiq tidak tahu mengapa Syahida kelihatan seperti tidak gembira.

"Ina, ingat lagi tak abang Shafiq? Anak abah dari KL tu? Dia akan jaga kita nanti kat kampung tau. Kita tidak akan berpisah lagi tau" ujar Syakila lembut sambil mengusap rambut adiknya itu. Syafina terus mencium tangan Shafiq dan kemudian memeluk abang tirinya itu dengan erat. Shafiq cukup terharu.

"Ida, kenapa ni? Kau tak suka kakak bawa kau balik ke?" soal Syakila hairan bila melihat wajah masam Syahida. Syahida cuba mengukirkan senyumannya sambil memegang erat tangan kakaknya itu.
"Taklah. Ida gembira, kak" balas Syahida perlahan. Namun Shafiq tahu, senyuman dan kata-kata Syahida itu bukan datang dari keikhlasan hatinya. Pastinya ada sesuatu yang terselindung di dalam senyuman Syahida itu.

"Hmmm, sudahlah. Kita perlu ke Pulau Pinang pula untuk mengambil Syakir dan Syariza" kata Syakila yang tidak dapat menyembunyikan kegembiraan di hatinya itu. Shafiq terus mengangkat beg-beg kepunyaan Syahida dan Syafina dan terus menuju ke kereta.

Akhirnya, mereka berempat pun sampai di Rumah Anak-anak Yatim Seroja, Georgetown. Seperti di Tapah, urusan kepulangan Syakir dan Syariza turut tidak menghadapi masalah. Sememangnya Syariza menjadi orang yang paling dirindui oleh semua kakak-kakaknya. Syariza merupakan anak bongsu Zam Shuardi yang baru berusia 2 tahun. Ternyata Syariza juga merindui mereka semua. Esakan manja Syariza membuatkan hati Shafiq sangat gembira. Akhirnya dia telah berjaya menghimpunkan semula kebahagian adik-adiknya itu.

"Abang Shafiq, mana Abang Syahrul?" soal Syakir yang berusia 7 tahun itu bila melihat tiada kelibat Syahrul di situ.
"Abang Syahrul pergi kerja. Nanti minggu depan dia baliklah" ujar Shafiq sambil membelai rambut Syakir itu.
"Abang Shafiq, Ina teringin nak pergi pantai. Boleh tak abang bawa kami?" pinta Syafina sambil memegang tangan Shafiq. Shafiq tersenyum saja melihat telatah Syafina yang cukup mesra itu.

"OK. Nanti kita pergi" janji Shafiq kepada Syafina. Mendengar jawapannya, Shafina dan Syakir melonjak kegembiraan. Selesai saja urusan di sana, Shafiq terus membawa mereka ke Batu Feringhi. Mereka cukup seronok bermain air bersama-sama di pantai. Sememangnya pengalaman merasai nikmat air laut cukup bermakna buat mereka terutama Syafina dan Syakir. Shafiq turut berkongsi kegembiraan bersama mereka.
Sebelum pulang ke Lenggong, Shafiq membawa adik-adiknya merasai nikmat nasi kandar di Padang Kota. Mereka cukup berselera menikmati juadah yang tidak pernah mereka rasai selama ini. Kemesraan di antara Shafiq dan adik-adiknya pantas terjalin. Shafiq tidak merasakan seperti orang asing di dalam keluarga ini. Malah, Syariza juga sudah pandai bermanja-manja dengan Shafiq biarpun baru 3 jam dia bertentang mata dengan abang sulungnya itu.

Jam 9 malam barulah mereka sampai ke rumah. Seperti biasa, Syakila bertanggungjawab menyediakan tilam dan bantal untuk mereka.
"Kakak, Abang Syahrul tahu ke pasal semua ni?" soal Syahida berbisik ketika di dalam bilik sambil menidurkan Syariza. Syakila terus duduk mengadap Syahida. Dilihatnya Syafina sudahpun melelapkan matanya.

"Kalau Abang Syahrul balik nanti macam mana kak? Macam kita tak kenal dia. Kalau sekali dia tak suka orang tu, sampai bila-bila dia akan berdendam" ujar Syahida tanpa menanti jawapan dari Syakila.
"Akak yakin Syahrul akan menerima Abang Shafiq. Percayalah, Ida" kata Syakila sambil memegang tangan adiknya itu.

"Yang penting sekarang, kita adik-beradik dah bersatu semula" sambung Syakila lagi.
"Harap-harap macam tu lah. Selamat malam, Kak Ila" kata Syahida pula lalu mencium pipi kakaknya dan terus merebahkan tubuhnya di sisi Syariza. Syakila kembali bangun dan terus berlalu keluar dari bilik. Dia ingin melihat bagaimana keadaan Syakir di ruang utama rumah bersama Shafiq. Syakila tersenyum sahaja bila melihat Syakir cukup selesa tidur dalam pelukan abang tirinya itu.

[BAB 15]
Shafiq begitu sibuk sepanjang 3 hari ini semenjak kepulangan adik-adiknya semula ke kampung. Shafiq berusaha untuk memohon penyambungan bekalan elektrik semula di rumahnya setelah hampir 10 tahun rumah itu bergelap setiap malam. Ternyata usahanya tidak sia-sia. Sebagai persediaan, Shafiq telah membeli peralatan elektrik yang baru seperti lampu, kipas malah televisyen dan peti sejuk juga dibeli untuk kegunaan mereka adik-beradik.

Shafiq juga begitu bersemangan untuk membaiki kerosakan rumah buruk itu. Mujur, rumah itu masih kuat lagi biarpun sudah kelihatan usang. Atap-atap zink diganti baru dan dinding yang berlubang ditampal. Mujur juga adik-adiknya sanggup membantunya membersihkan rumah mereka.

Segala perkakasan dan barangan keperluan rumah juga diganti baru. Kini, Syariza tidak perlu berlapar susu lagi. Begitu juga dengan barang persekolahan Syahida, Syafina dan Syakir dibeli baru semuanya. Urusan pertukaran sekolah juga sudah selesai dilakukan.
"Hmmm, sedaplah abang masak!!" puji Syafina ketika menikmati juadah makan tengahari. Mereka berenam cukup berselera sekali. Shafiq tergelak mendengar pujian dari Syafina. Memang Shafiq agak pandai bab masak-memasak. Ini kerana ketika dia bersekolah lagi, dia sudah belajar memasak dari Mak Jah sebelum orang tua itu meninggal dunia.

"Mulai esok, semua kena start sekolah tau. Jadi abang nak kamu semua belajar bersungguh-sungguh. Dah takde alasan lagi tau? Semua kelengkapan sekolah dah cukup kan?" kata Shafiq memberi nasihat. Sesekali tangannya menyuap makanan ke mulut Syariza yang duduk dalam pangkuannya.
"Ina janji Ina akan belajar rajin-rajin!!" kata Syafina bersemangat. "Syakir pun!!!" kata Syakir enggan mengalah sambil mengangkat tangan. Shafiq dan Syakila tergelak melihat telatah Syafina dan Syakir.

"Ida kalau ada apa-apa masalah, bagitau abang ye?" kata Shafiq pula bila melihat Syahida hanya membisu sejak tadi. Syahida hanya menggangguk.
"Abang, Ila ingat esok Ila nak sambung menoreh lah bang. Dah 4 hari Ila tak ke ladang. Ila takut nanti duit abang akan habis kalau Ila tak bantu abang" kata Syakila cuba menukar tajuk perbualan.

"Abang sebenarnya tak larang kalau Ila nak pergi menoreh. Cuma abang harap Ila tak payah lah lagi ambil upah basuh pinggan ke atau apa saja. Cukuplah kalau Ila nak menoreh sebab duit abang ada lagi. Pasal Iza, Ila tak payah risau. Abang boleh jaga dia" kata Shafiq sambil memberikan minuman kepada Syariza.
"Hmmm, abang sebenarnya ada idea. Dari malam tadi abang asyik terpikir pasal benda ni. Abang perasan yang kampung kita ni takde kedai runcit kan? Kalau nak beli barang, kena pergi ke pekan atau ke kampung sebelah kan?" ujar Shafiq cuba menarik perhatian adik-adiknya. Syakila mengangguk saja.

"Jadi, abang ingat nak buka satu kedai kecil. Mungkin kat sebelah rumah kita ke. Kita juallah barang-barang penting dan sikit dulu macam garam, gula, susu, bawang, beras atau sabun ke. Kalau kita dapat rezeki lebih, baru kita jual macam-macam. Setuju tak?" kata Shafiq memberi idea. Syakila dan Syahida tercengang mendengar idea Shafiq.
"Hmm, abang pasti ke? Mesti banyak pakai duit ni" kata Syakila seperti tidak yakin dengan cadangan abangnya.

"Pasal duit, tak payah risau. Lagipun kalau jadi, Ila tak payah susah-susah menoreh lagi. Syahrul juga boleh bantu" kata Shafiq lagi cuba meyakinkan Syakila.
"Tapi abang kena tanya Abang Syahrul dulu" tiba-tiba Syahida bersuara. Dia tidak mahu Syahrul diketepikan dalam membuat keputusan. Shafiq tersenyum mendengar kata-kata Syahida.

"Yup, nanti abang tanya Abang Syahrul dulu baru kita buat keputusan. Sekarang, kita makan sampai habis. OK?" usik Shafiq pula sambil menambahkan lauk ke pinggannya. Diperhatikan saja adik-adiknya itu. Memang mereka kini kelihatan sangat gembira kerana kehidupan mereka sudah berubah. Cuma Shafiq berharap agar adik-adiknya itu tidak leka dibuai dengan kemewahan yang dikecapi mereka sekarang.

[BAB 16]
Syahrul berjalan menyusuri lorong-lorong kecil menuju ke rumahnya. Entah apa nasib malang menimpanya. Sudahlah dia berpenat sepanjang kerja di Alor Setar namun bayaran yang diterima tidak setimpal. Hanya RM50 sahaja diperolehinya sepanjang 5 hari di sana.

Tiba-tiba Syahrul menghentikan langkahnya bila dia terlihat sebuah kereta Honda CRV terpacak di halaman rumahnya. Syahrul dapat menganggak siapakah empunya kereta itu. Langkah Syahrul makin pantas. Perasaan marahnya membuak-buak bila melihat seorang lelaki sedang membakar sampah di tepi rumahnya. Ya, dia kenal lelaki itu.

"Hei! Apa yang kau buat di sini?" kata Syahrul tiba-tiba meninggikan suara. Shafiq agak terkejut dengan laungan suara tersebut lalu menoleh ke belakang.
"Hah, kamu Syahrul" tegur Shafiq sambil mengukirkan senyumannya. Namun senyumnya tidak disambut mesra oleh Syahrul.
"Kenapa kau datang sini? Apa tujuan kau? Hah?" kata Syahrul lagi meluahkan rasa marahnya. Dia sememangnya membenci Shafiq sejak di rumah Ali lagi kerana keengganan Shafiq menunaikan janjinya kepada ayah mereka.

"Kita masuk dulu, Syahrul" ajak Shafiq bila melihat perangai Syahrul yang agak menyakitkan hatinya. Namun, dia tetap bersabar.
"Ini rumah aku!! Kenapa pula kau nak ajak aku masuk?" tengking Syahrul lagi. Shafiq menggelengkan kepala. Tidak sangka begini layanan Syahrul kepadanya.
"Abang Syahrul!!! Bila abang balik??" tiba-tiba suara budak kecil menarik perhatian Syahrul lalu dia pun menoleh ke belakang. Alangkah terkejutnya dia bila melihat Syakir sedang berlari-lari mendapatkannya. Lantas Syahrul terus memeluk adik lelakinya itu lalu dicium berkali-kali melepaskan kerinduannya. Shafiq hanya berdiri melihat mereka yang sedang berpelukan itu.

"Syakir, kenapa kau ada kat sini?" soal Shafiq hairan sambil memegang kedua-dua pipi adiknya itu. Syakir yang berpakaian sekolah itu tersengih-sengih sahaja.
"Syakir duduk sini lah bang. Semua orang ada kat sini tau. Abang Shafiq yang bawa kitorang balik" beritahu Syakir yang comel itu. Syahrul terkejut. Tiba-tiba dia terdengar suara budak perempuan menangis di dalam rumah. Syahrul yakin itu suara Syariza. Shafiq yang turut mendengar tangisan Syariza, bergegas ingin ke dalam namun sempat dihalang Syahrul yang lebih pantas berlari memasuki rumahnya. Syahrul melihat adiknya sedang menangis berbaring di atas tilam. Syahrul terus mendukung adiknya lalu diciumnya berkali-kali. Syahrul sangat gembira dapat bertemu dengan adik kesayangannya ini. Syariza tidak lagi menangis bila Syahrul datang memujuknya.

Syahrul tiba-tiba merasa pelik dengan keadaan rumahnya. Dilihatnya kipas angin berputar ligat di atas kepalanya. Begitu juga dengan keadaan zink rumahnya yang baru dan tidak bocor lagi. Terdapat juga sebuah peti televisyen di atas almari kecil berhampirannya. Shafiq menjadi bingung kerana baru seminggu dia meninggalkan rumah ini.

"Apa semua ni? Kau cuba membeli kami dengan duit kau ke? Apa, kau ingat aku tak mampu menjaga adik-adik aku?" kata Syahrul geram bila melihat Shafiq terpacak di depannya.
"Syahrul, jaga sikit mulut kau tu!" kata Shafiq yang tidak dapat menahan sabar. Cukuplah sampai setakat ini sahaja dia bersabar.
"Aku tahu mesti kau ada muslihat kan? Kenapa sekarang baru kau muncul? Konon nak membela.." perli Syahrul biadap sambil meludah ke tanah. Tangannya masih mendukung Syariza yang kembali menangis. Syakir pula kelihatan takut bila melihat pertengkaran antara Syahrul dan Shafiq.

"Apa yang kau merepek ni?" marah Shafiq lagi. Kali ini suaranya ditinggikan. Dia berasa terhina sekali bila Syahrul cuba memperlekehkan niat sucinya. Kedua-dua mereka menunjukkan sikap degil masing-masing. Syahrul lantas menarik tangan Syakir lalu menuruni tangga dan terus meninggalkan rumah ini. Syakir meronta untuk dilepaskan namun Syahrul enggan. Remaja yang berusia 16 tahun itu terus menarik Syakir sambil tangannya yang sebelah lagi erat mendukung Syariza.

"Abang nak pergi mana? Syakir tak mahu laa!!! Syakir nak abang Shafiq!!!" jerit Syakir ingin dilepaskan. Pergelangan tangannya merasa sakit bila dicengkam dengan kuat oleh Syahrul. Shafiq terus mengejar mereka dan meleraikan cengkaman Syahrul.

"Apa kau buat ni? Lepaskan Syakir!!" tengking Shafiq sambil tangannya menarik jari-jari Syahrul supaya melepaskan Syakir. Syahrul akur dan segera melepaskan Syakir yang mula menangis. Dia terus berlalu membawa Syariza dalam dakapannya. Shafiq terus memeluk Syakir dan terus mendukungnya. Shafiq memujuk Syakir supaya berhenti menangis sambil matanya hanya mampu mengekori langkah Syahrul yang menuju ke arah timur. Shafiq tidak tahu ke mana tujuan Syahrul membawa Syariza pergi.

[BAB 17]
"Kak Ila yakin ke dengan abang Shafiq?" soal Syahida yang lengkap berpakaian sekolah. Syakila tersenyum saja mendengar pertanyaan adiknya. Walaupun jam sudah pun pukul 2 petang, Syakila masih lagi berada di ladang getah. Syahida yang baru pulang dari sekolah dapat mengagak di mana kakaknya berada ketika ini.

"Akak nampak keikhlasan di wajah abang Shafiq. Kita berdoa agar kita adik beradik selamat di bawah lindungan Allah, ye Ida?" pujuk Syakila cuba meyakinkan adiknya itu walaupun dia sendiri tidak pasti.
"Tapi Ida masih ragu-ragu la kak" balas Syahida lembut. Belum sempat Syakila menjawab, Syahida tiba-tiba bangun.

"Ehhh, Kak Ila!!! tu Abang Syahrul!!! Kenapa dia bawa Iza, kak?" pekik Syahida tiba-tiba bila dia ternampak seorang lelaki yang sedang mendukung budak kecil menuju ke arah mereka. Syakila terus menoleh ke belakang. Memang benar, mereka itu Syahrul dan Syariza.

"Akak!!! Apa semua ni? Kenapa lelaki tu ada kat rumah kita?" bentak Syahrul kasar. Syariza terus menangis lantas Syahida mengambil Syariza dari dakapan Syahrul.
"Bawa bertenang Syahrul!!! Kenapa dengan kau ni?" balas Syakila pula. Dilihatnya wajah Syahrul agak bengis. Syahida pula terus memujuk Syariza yang makin kuat teriakannya.

"Syahrul nak tahu kenapa lelaki itu ada di rumah kita, kak?" soal Syahrul lagi mengulangi pertanyaannya tadi.
"Dia nak jaga kita. Akak tak boleh halang. Sebab dia juga abang kita" jawab Syakila endah tak endah sambil memasukkan bekas makanan ke dalam bakulnya.
"Hah? Orang tu nak jaga kita?? Tak sangka begitu mudahnya kakak boleh percaya dia? Entah-entah ada niat lain tersembunyi. Mana kita tahu kan?" balas Syahrul mengeluarkan hujahnya. Syakila menggelengkan kepalanya. Dia tidak sangka sampai begitu sekali kenyataan yang Syahrul luahkan.

"Akak tau niat dia ikhlas. Syahrul tengok la sendiri. Tadi Syahrul boleh dukung Iza kan? Syahrul juga boleh nampak Ida kan kat sini? Kalau tiada lelaki itu, kita berdua tak dapat nak bawa mereka semua balik ke sini kan?" bertalu-talu hujah Syakila pula diluahkan. Syahrul masih tak puas hati lagi.

"Ahhh, itu semua alasan je. Kalau dia betul-betul ikhlas, lepas mak dan abah meninggal, dia patut jaga kita. Kak Ila sendiri dah dengar yang dia dah berjanji nak jaga kita masa abah belum meninggal lagi. Lagi satu, mana mungkin orang kaya tu nak tinggal dengan kita yang miskin ni. Kalau seminggu je dia tahan, macam mana? Nak tak nak kita kena hantar mereka balik semula ke rumah anak yatim. Kak Ila tak fikir macam tu ke?" jawab Syahrul mempertahankan kenyataannya. Syakila terdiam sejenak.

"Kenapa kak Ila senyap? Kita tak boleh percaya dengan dia, kak!" sambung Syahrul lagi. Kali ini nada suaranya agak lembut pula. Syakila terus merenung wajah adiknya itu.
"Kita doakan saja.." jawab Syakila perlahan lalu berlalu pergi. Syahida yang diam seribu bahasa tadi terus mengekori kakaknya sambil mendukung Syariza. Syahrul hanya memerhatikan mereka saja.

Malam itu, mereka makan bersama seperti biasa. Cuma kali ini agak berbeza suasananya. Mereka tidak banyak berkata seperti malam-malam sebelumnya. Hanya Syariza yang kelihatan aktif ketika itu.
Tiba-tiba Syahrul menunjukkan dirinya di pintu dapur. Sejak tengahari tadi dia tidak pulang ke rumah.

"Abang Syahrul!!" jerit Syafina yang jelas kegembiraan bila dapat melihat wajah abangnya itu. Namun sahutan Syafina tidak diendahkan. Dia terus meluru ke arah ruang tamu. Syafina terpinga-pinga. Shafiq buat seperti tak tahu saja. Dia tahu emosi Syahrul masih lagi terganggu.

Tak lama kemudian, Syahrul kembali ke dapur. Kali ini dia hanya bertuala saja lalu terus keluar menuju ke perigi di belakang rumahnya.
Kemudian, Syahida bangun lalu membawa pinggan nasinya. Syakila merasa pelik kerana Syahida hanya menjamah sedikit sahaja makanannya.
"Ehhh, sikit kau makan, Ida?" soal Syakila hairan.
"Ida takde selera!!" jawab Syahida lalu menuju ke arah tempat basuh pinggan. Air dalam baldi digunakannya untuk membasuh pinggannya. Shafiq masih lagi mendiamkan diri.
Jam sudah pun pukul 10 malam. Shafiq seorang diri menonton televisyen di ruang tamu. Syahida dan Syafina sudah pun masuk ke bilik bersama Syariza manakala Syakila sibuk di dapur mengemas apa yang patut. Syakir pula masih belum pulang dari mengaji Al-Quran di rumah jirannya. Syahrul pula merehatkan diri di anjung luar rumah menghirup kedamaian angin malam. Perut Syahrul kelaparan namun dia cuba menahannya. Dia tidak mahu menjamah makanan di dapur kerana dia tahu makanan itu pastinya dari duit Shafiq.
Tidak lama kemudian, Syakir pulang ke rumah. Shafiq sudah menyediakan tilam dan bantal untuk Syakir pada malam itu.

"Syakir, malam ni Syakir tidur dengan abang Syahrul ye dik? Syakir tak rindukan abang?" soal Syahrul bila Syakir sampai di rumah.
"Kita tidur dalam tau. Best ada kipas" kata Syakir tersengih-sengih.
"Tak mahu lah. Kita tidur kat luar lah. Takkan Syakir tak biasa kalau takde kipas?" pujuk Syahrul lembut. Shafiq yang sedang menonton TV itu hanya mampu mendengar kata-kata dua beradik tu.

"Habis, Abang Shafiq macam mana?" soal Syakir pula.
"Biarlah dia. Nanti abang ambilkan tilam ngan bantal, OK? Syakir sayang abang kan?" pujuk Syahrul lagi mengambil hati adik lelakinya itu. Syakir bersetuju. Syahrul terus bangun lalu menuju ke ruang tamu. Diambilnya tilam dan bantal Syakir lalu di bawa keluar tanpa sebarang kata. Shafiq pula membuat bodoh sahaja. Syakir terus meletakkan Al-Qurannya di meja kecil lalu berlari menuju ke arah Syahrul yang sedang membentangkan tilam di anjung luar.

"Kalau tak nak tengok TV tu, tutup je. Memekak! Ganggu orang nak tidur" perli Syahrul tanpa memandang wajah Shafiq. Tanpa banyak bicara, Shafiq terus menutup suis televisyen. Malas dia nak melayan kerenah Syahrul. Lalu Shafiq merebahkan dirinya di atas hamparan tilamnya. Pelbagai perkara timbul dalam fikirannya. Dia sendiri serba salah. Namun dia kuatkan semangat untuk mengambil hati kesemua adik-adik tirinya itu. Itu janji Shafiq!

[BAB 18]
Sudah sebulan Shafiq bertahan di sini. Selama itulah dia mengenal erti kehidupan sebenar di kampung itu biarpun dia dari dulu sudah disogokkan dengan kemewahan keluarganya di Kuala Lumpur. Saban hari Shafiq memerah keringat membina sebuah rumah kecil di sebelah rumah milik arwah ayahnya itu. Dengan bantuan 2 orang penduduk kampung yang diupah oleh Shafiq, akhirnya mini kedai dapat disiapkan. Shafiq tersenyum puas. Ini masanya dia memulakan hidup baru untuknya dan adik-adiknya yang lain.

"Hai bang. Dari tadi abang Shafiq asyik tersenyum je tengok kedai ni" usik Syakila sambil memberikan minuman kepada abangnya itu. Shafiq tersedar dari lamunannya.
"Hehe. Mestilah. Kedai ni nanti akan berjasa kat penduduk kampung ni tau" balas Shafiq ketawa sambil meneguk air sirap. Syakila duduk di sebelah Shafiq di atas bangku itu. Syakila turut tersenyum melihat rumah kecil di depannya itu.

"Abang dah uruskan dengan semua pembekal barang nanti. Jadi minggu depan, kita dah boleh buka kedai ni. Syakila kena jaga kedai ni tau" kata Shafiq lagi.
"Tapi abang Shafiq, Ila takut lah nak jaga kedai ni. Ye lah, Ila ni takat darjah enam je bang. Nanti kalau Ila buat salah, tak pasal-pasal rugi nanti" ujar Syakila merendah diri. Shafiq memandang wajah adiknya itu.

"Hmmm, ada pula dia cakap macam tu. Belum start lagi, dah cakap pasal rugi. Ila kena slow-slow belajar macam mana nak handle kedai ni nanti. Takpe, abang boleh ajarkan Ila dan yang lain" jawab Shafiq cuba menaikkan semangat Syakila.
"Hehe, Ila akan cuba" jawab Syakila bersemangat.

"Tapi, Ila risau pasal Syahrul lah. Dah dekat sebulan ni, tapi abang Shafiq dengan Syahrul masih tak bertegur sapa lagi. Sampai bila, bang?" tanya Syakila mengeluh panjang. Syahrul memang sudah berubah sejak kedatangan Shafiq di sini. Syahrul sudah tidak banyak bercakap. Dia lebih gemar berada di luar dari menghabiskan masanya di rumah. Syahrul juga makin ligat mengambil upah dari penduduk kampung seperti menoreh getah, membersihkan kebun, memotong rumput dan lalang, mencari buluh di hutan dan bermacam-macam lagi. Duit hasil upah penduduk kampung diberi kepada Syakila. Bakinya Syahrul membeli makanan untuk mengalas perutnya. Dia sememangnya tidak pernah memakan makanan hasil dari duit Shafiq.

"Hmmm, entah lah Ila. Abang pun tak tahu sampai bila. Tapi abang yakin suatu hari nanti hatinya akan terbuka untuk menerima abang" kata Shafiq perlahan sambil cuba tersenyum. Biarpun dia sering kali berkecil hati dengan tindakan Syahrul, namun dia tetap bersabar.
"Tapi abang risau juga pada Syahida juga" kata Shafiq lagi. Syakila hairan dengan kata-kata Shafiq itu lalu bertanyakan kenapa.

"Takde lah. Abang perasan yang Ida tu selalu termenung, wajahnya asyik muram. Suka menyendiri. Kadangkala abang pernah terfikir yang Ida mungkin juga tidak suka pada abang" luah Shafiq dari hatinya. Syakila terdiam sejenak.
"Kenapa abang fikir macam tu? Ila tak fikir yang Ida tu tak sukakan abang Shafiq. Mungkin permainan perasaan abang Shafiq kot" pujuk Syakila cuba menenangkan kegusaran hati Shafiq. Shafiq tersenyum.

"Cuma, Ida ada bagitau Ila dulu lepas abah meninggal yang dia dah tidak minat untuk belajar. Dia nak bekerja bantu Ila dan Syahrul. Tapi kami tak kasi. Sekarang ni pun, dia ada kata yang dia nak berhenti juga. Dia tak mahu menyusahkan abang Shafiq pula. Tapi Ila masih tak benarkan" cerita Syakila perlahan. Shafiq terkejut mendengar cerita Syakila.
"Nanti abang bincang dengan dia. Tapi kan, abang cukup berbangga dengan adik-adik abang. Kamu semua ni baik, abang rasa cukup senang sekali" kata Shafiq meluahkan segala isi hatinya. Dia cuba membandingkan dengan perangai adik-adik tirinya di Kuala Lumpur yang nyata berbeza dengan mereka di sini.
Petang itu, Shafiq berjalan-jalan merayau di sekeliling kampung sambil menghirup udara segar dan nyaman di situ. Setiap kali bertembung dengan penduduk kampung, dia ditegur dengan ramah sekali. Ternyata penduduk di situ sudah menerima Shafiq sebagai warga kampung mereka. Persoalan yang selalu diajukan kepada Shafiq mengenai kedai yang akan dibuka oleh Shafiq. Rupanya mereka sudah tidak sabar menunggu detik kedai milik Shafiq dan adik-adiknya dibuka secara rasmi.

Sedang Shafiq sedang menikmati keindahan kampung, tiba-tiba Shafiq terlihat Syahida sedang duduk di pondok menunggu bas di seberang jalan. Shafiq segera mendapatkan Syahida.
"Ehh Abang Shafiq. Nak pergi mana ni?" soal Syahida yang rupanya sedang membaca novel di situ.
"Saje je abang ambil angin. Ida pula nak pergi ke pekan ke?" tanya Shafiq ingin tahu.
"Taklah, Ida saja duduk kat sini sambil baca novel ni. Ida pinjam dari kawan" jawab Syahida lembut sambil menunjukkan novel yang bertajuk 'Kau Milikku'. Shafiq tersenyum.
"Oooh novel ni. Abang Shafiq dah baca. Sedap cerita ni" kata Shafiq pula. Syahida terkejut kecil.
"Hah? Abang Shafiq baca novel macam ni? Ida tak percaya lah" kata Syahida tidak percaya. Shafiq ketawa.

"Kenapa? Ida tak percaya yang lelaki macho macam abang suka baca novel? Rumah abang banyak novel la. Semua cerita baru, abang mesti belinya" gurau Shafiq sedikit berlagak. Syahida ketawa sahaja mendengar cerita Shafiq. Itulah pertama kali Shafiq melihat wajah ceria Syahida yang sebelum ini agak sukar untuk ketawa. Oleh itu, Shafiq rasa inilah masa yang sesuai untuknya mendekati hati adiknya itu.

"Kak Ila cakap yang Ida masa UPSR dulu dapat 5A. Tahun lepas pula Ida dapat nombor satu kan dalam sekolah? Bijaklah Ida ni. Nanti tahun depan PMR mesti 8A ni. Abang Shafiq gerenti ni!" puji Shafiq cuba mengambil hati. Syahida tersenyum saja.
"Abang Shafiq doakan je la. Tapikan, sebenarnya Ida kesian dengan kak Ila dan abang Syahrul. UPSR diorang pun dapat 4A bang. Tapi terpaksa berhenti. Ida rasa macam tak adil je kalau Ida dapat teruskan sekolah Ida tetapi tidak bagi mereka" cerita Ida lembut. Nadanya perlahan.

"Kenapa Syahida cakap macam tu? Sepatutnya Ida bersyukur sebab masih ada peluang dan jadikan peluang ini sebagai semangat untuk Ida lebih tekun dan rajin untuk mencapai kejayaan agar Ida boleh merubah nasib Ida dan adik-beradik Ida kelak. Ingat, pengorbanan Kak Ila dan abang Syahrul tu, Ida kena balas dengan belajar bersungguh-sungguh. Siapa yang tidak gembira kalau adik mereka berjaya? Ye tak?" kata Shafiq memberi nasihat berguna untuk adiknya. Dia ingin memberi semangat untuk Syahida terus maju ke hadapan. Syahida mengangguk mendengar kata-kata semangat Shafiq. Tiba-tiba terselit azam dan impian di hatinya untuk merubah kehidupan keluarganya selama ini.

"Ida kena ingat yang hidup ni kita mesti ada ilmu. Ilmu tu penting. Biar miskin harta tapi jangan miskin ilmu. Ida masih muda. Gunakan masa ni untuk Ida mengejar ilmu. Ida tak teringin nak masuk universiti nanti? Pasal Ila dan Syahrul tu, sudah tiada nasib mereka untuk menyambung pelajaran mereka. Tapi abang yakin, pengalaman yang mereka perolehi merupakan sebuah ilmu bagi mereka. Itu yang membuatkan mereka makin tabah" sambung Shafiq lagi.

"So, abang nak Ida janji mulai dari saat ini, Ida kena belajar bersungguh-sungguh. Buktikan yang Ida boleh berjaya!" ujar Shafiq lagi. Syahida merenung wajah tenang abang tirinya itu.

"Terima kasih abang Shafiq. Ida akan buktikan pada Abang Shafiq, Kak Ila, Abang Syahrul dan yang lain semua yang Ida akan berjaya suatu hari nanti!" kata Syahida bersemangat. Shafiq merasa bangga melihat semangat Syahida yang membuak secara tiba-tiba.

"Abang Shafiq...boleh Ida peluk abang?" pinta Syahida tersenyum. Shafiq juga tersenyum. Tangannya didepa luas. Lantas, Syahida terus memeluk abangnya itu. Air mata jernih mengalir di matanya.
"Maafkan Ida selama ini kalau Ida menyakitkan hati Abang Shafiq" Syahida memohon maaf. Shafiq melepaskan pelukannya lalu memandang wajah suci Syahida lalu diukirkan senyuman.

"Ida tak pernah buat salah. Abang yang sebenarnya banyak bersalah pada kamu semua. Hmm, dah lah. Hari pun nak maghrib. Jom kita balik" ajak Shafiq pula. Mereka pun berjalan pulang ke rumah.

[BAB 19]
Perniagaan runcit Shafiq sudah masuk bulan kedua. Sambutan dari penduduk kampung sungguh menggalakkan. Saban hari Shafiq berada di kedai bersebelahan rumahnya.

Sudah tentu barangan seperti beras, gula, garam dan keperluan masakan menjadi pilihan penduduk kampung. Begitu juga dengan snek ringan dan aiskrim yang sering dibeli oleh murid-murid yang kerap berulang alik ke sekolah melalui kedai Shafiq. Namun Shafiq cukup bertuah mendapat pertolongan sepenuhnya dari Syakila. Syakila kini tidak lagi mengambil upah menoreh getah. Tugasnya kini menjaga kedai bersama abangnya itu.

Kadangkala, Syahida turut membantu mereka sekiranya dia kelapangan. Lagipun, Shafiq tidak menggalakkan Syahida, Syafina mahupun Syakir menghabiskan masa mereka menjaga kedai. Mereka masih lagi mempunyai tanggungjawab terhadap pelajaran mereka.

Namun apa yang dikesalkan oleh Shafiq ialah keengganan Syahrul melibatkan diri dalam perniagaan kecil-kecilan ini. Syahrul masih lagi dalam dunianya sendiri. Dia sengaja mengasingkan dirinya bukan sahaja dari Shafiq malah dengan adik-beradiknya yang lain. Adakala Shafiq merasa cukup bersalah seolah-olah kehadirannya menjarakkan perhubungan Syahrul dan adik-adiknya yang lain. Sudah acapkali mulut Syakila berbuih menasihati Syahrul agar menerima Shafiq seadanya namun Syahrul masih lagi enggan tunduk dengan ego dan kedegilan hatinya.

Suatu pagi, kedai mereka dikunjungi oleh seorang wanita. Ternyata kehadiran wanita itu menarik minat Shafiq. Seingat Shafiq, sepanjang 3 bulan dia di sini, rasanya belum lagi pernah dia melihat wanita itu di kampung.
"Ya, cik nak beli apa?" tegur Shafiq ramah. Wanita yang bertudung hitam itu melemparkan senyuman manis kepada Shafiq. Shafiq tertawan sebentar melihat keayuan wajah sang gadis itu.
"Hmmm, saya nak beli tuala wanita. Ada?" tanya wanita itu pula sambil meletakkan jari di dagu lekuknya.
"Erghhh, maaflah cik. Benda tu saya tak jual" jawab Shafiq tersenyum.
"Aikk? Benda penting macam tu, awak tak jual?" perli wanita itu lagi sambil matanya melilau di dalam kedai. Shafiq tersenyum lagi. Boleh tahan nakal juga wanita ini, fikir Shafiq dalam hati.

"Hmmm, kedai ni awak dah daftarkan ke belum?" soal wanita itu pula.
"Sudah tentu" jawab Shafiq ringkas. Dia merasa pelik sahaja melihat tingkah laku wanita itu.
"Ehhhh, Kak Zara!!!" jerit Syakila tiba-tiba dari belakang mengejutkan Shafiq. Wanita itu terus tersenyum apabila melihat Syakila yang berlari mendapatkannya. Syakila terus mencium tangan wanita itu lalu dipeluknya sekuat hati. Shafiq hanya mampu melihat sahaja.
"Kak Zara bila balik? Wah, Kak Zara makin cantiklah!!!" puji Syakila mesra. Ternyata dia cukup teruja dengan kehadiran wanita yang bernama Zara itu.
"Kak Zara sampai semalam. Ingat nak bercuti kejap kat sini" ujar Zara lembut sambil memegang tangan Syakila. Shafiq terus terpukau dengan kemesraan dan kelunakan suara Zara itu.

"Kak Zara kenalkan ini Abang Shafiq" Syakila terus memperkenalkan wanita itu kepada Shafiq. Shafiq menghulurkan tangannya dan disambut oleh Zara.
"Kalau abang nak tahu, Kak Zara ni anak Pakcik Ali tau. Dia ni peguam kat KL" cerita Syakila lagi. Shafiq tersengih saja.
"Hmmm, inilah jejaka handsome dari KL yang selalu disebut-sebut oleh penduduk kampung ni ye?" usik Zara mesra. Shafiq tersipu malu dengan usikan Zara. Syakila pula ketawa sahaja melihat reaksi Shafiq.

"Hehe, tak sangka Pakcik Ali ada anak secantik Zara ni ye" balas Shafiq pula bergurau nakal. Shafiq mula menunjukkan sifat romeonya. Zara tersenyum saja.
"Kak Zara jom naik ke rumah dulu. Diorang semua ada di atas. Mesti diorang suka bila nampak Kak Zara karang" ajak Syakila pula. Zara mengangguk.

"Saya naik dulu ye" pinta Zara lembut kepada Shafiq. Shafiq tersengih sahaja. Kemudian, Zara dan Syakila terus berlalu menuju ke rumah. Mata Shafiq mengekori langkah mereka berdua. Tidak lama kemudian, dia mendengar suasana riuh dalam rumah dengan hilai tawa mereka semua di sana. Ternyata kehadiran Zara sangat istimewa di hati adik-adiknya.

[BAB 20]
"Syakir!!! Jangan lari-lari dalam kedai!! Nanti jatuh!!" tegur Shafiq bila melihat Syakir tak duduk diam berlari sambil tangannya sibuk mengira stok barangan di bukunya sambil dibantu oleh Syahida. Syakila dan Syafina pula sedang sibuk meletakkan tanda harga pada tin-tin susu yang baru sampai pagi tadi.

"Hmmm, boleh tahan juga bisnes kita ye bang?" ujar Syahida bila melihat hasil jualan yang diperolehi mereka. Shafiq tersenyum saja sambil jarinya tangkas bermain di kalkulator. Syakir yang dari tadi bermain seorang diri terus mendapatkan abang tirinya itu.

"Alhamdulillah, rezeki korang semua" jawab Shafiq sambil menarik Syakir duduk di pangkuannya.
"Bila Ila nak ambil Syariza kat rumah Pakcik Ali?" soal Shafiq pula sambil memandang Syakila yang sedang bertinggung menyusun tin-tin susu tersebut.
"Kejap lagi. Kenapa?" beritahu Syakila pula. Shafiq tersenyum dan mengangguk.
"Takpe lah. Biar abang pergi ambil, OK?" Shafiq menawarkan diri.
"Heheh, Abang Shafiq nak pergi sana nak jumpa Kak Zara ye? Abang suka Kak Zara kan?" usik Syafina pula. Shafiq ketawa mendengar usikan Syafina itu. Begitu juga dengan Syakila dan Syahida.

"Hahaha, pandai je lah korang ni. Tapi, memang ye pun. Hehe, tak salah kan?" balas Shafiq ketawa.
"Abang Shafiq nak kahwin dengan Kak Zara ke?" tanya Syakir selamba. Sekali lagi mereka semua ketawa.
"Aiyooo, ke situ pula dia. Dah, korang jaga kedai ni. Abang nak ke sana" kata Shafiq lalu bangun dan menurunkan Syakir dari pangkuannya. Shafiq mengeluarkan sikat di koceknya lalu rambutnya disisir rapi.

"Abang Shafiq dah handsome lah" perli Syahida sambil menunjukkan ibu jarinya tanda OK. Kemudian Shafiq pun terus berjalan menuju ke lorong kecil. Sekali sekala Shafiq bersiul menandakan hatinya sangat senang sekali. Terbayang-bayang wajah ayu Zara dalam fikirannya. Rasa seperti tak sabar kakinya melangkah menuju ke rumah Zara.

Tiba-tiba dari kejauhan, Shafiq ternampak Syahrul sedang menuju ke arah belukar dengan parang disisipkan di pinggangnya. Shafiq melihatnya dari jauh. Timbul pula perasaannya ingin melihat sendiri kegigihan Syahrul memerah keringat seorang diri di belukar untuk mencari buluh-buluh. Perlahan-lahan Shafiq mengekori Syahrul sehinggalah Shafiq tidak sedar bahawa mereka sebenarnya sudah agak jauh dalam belukar. Sehinggalah Syahrul tiba di suatu kawasan yang penuh dengan rimbunan pokok buluh. Syahrul terus mencapai parang dipinggangnya lalu dipotong buluh yang diinginkan. Shafiq sudah bersedia menunjukkan dirinya di depan Syahrul. Dia ingin mendekati hati Syahrul yang keras bagaikan batu itu.
"Assalamualaikum" tegur Shafiq. Syahrul terkejut bila melihat Shafiq berada di depannya. Mukanya kelihatan agak marah.

"Kenapa kau ada di sini? Kau mengintip aku? Atau kau sengaja nak perli aku bila tengok aku buat kerja teruk macam ni, bukan macam kau bersenang lenang kat kedai?" jerit Syahrul tidak puas hati. Tiba-tiba saja hati Shafiq merasa panas bila dituduh sebegitu rupa. Rasa menyesal pula dia mengekori Syahrul.

"Hmm, setahu aku, abah ajar anak-anaknya beradap sopan, hormat orang tua. Tak begitu?" perli Shafiq agak pedas. Syahrul terdiam.
"Awak nak apa?" soal Syahrul kali ini dengan nada yang agak lembut sambil meneruskan kerjanya memotong buluh. Shafiq tersenyum bila dia berjaya melembutkan sedikit hati adiknya itu.

"Syahrul, apa kata kalau kita berdamai? Yang dulu tu sudahlah. Abang memang mengaku abang mungkir janji abang pada abah. Tapi, kan abang dah ada kat sini untuk tebus janji abang dulu" ujar Shafiq lembut. Syahrul meneruskan kerjanya seolah-olah dia tidak mendengar.

"Abang tahu yang kau memang tak suka kat abang. Kau anggap abang ni perampas kebahagiaan dari kau. Tapi percayalah yang abang ni takde niat untuk mengganggu korang adik beradik. Jangan jadikan abang macam orang asing di hati kau" sambung Shafiq lagi meluahkan segala rasa yang terpendam di hatinya. Namun, Syahrul masih lagi diam membisu. Tangannya semakin pantas dan cekap mengangkat buluh-buluh yang sudah ditebangnya. Shafiq mengeluh panjang.

Tiba-tiba Shafiq merasakan seperti ada yang tak kena. Shafiq rasa seolah-olah ada sepasang mata yang lain sedang memerhatikan mereka. Mata Shafiq melilau ke sini sana manakala Syahrul masih meneruskan kerjanya.

Apa yang ditakutkan Shafiq kini menjadi kenyataan. Secara tiba-tiba seekor babi hutan berlari entah dari mana muncul menuju ke arah Syahrul. Belum sempat babi hutan itu menerkam Syahrul, Shafiq terdahulu pantas menolak Syahrul ke tepi menyebabkan Syahrul terjatuh. Namun malang bagi Shafiq bila babi hutan itu dapat menyondol badan Shafiq pula. Akibatnya, Shafiq terpelanting ke belakang. Babi hutan itu terus menyondol Shafiq yang sudah terjatuh itu dengan taringnya yang tajam. Shafiq menjerit kesakitan. Syahrul tergamam sebentar melihat kerakusan babi hutan yang agak besar itu mencederakan Shafiq.

Kemudian, Syahrul tersedar lalu menyebat badan babi hitam itu dengan buluh yang dipotongnya tadi. Babi hutan itu menghentikan sondolannya bila badannya terasa sakit. Babi hutan itu kemudian mendengus memandang Syahrul. Syahrul ketakutan. Buluh ditangannya dilepaskan. Belum sempat babi hutan itu cuba menyerang Syahrul, Shafiq dengan mengagahkan dirinya bangun lalu menerkam babi hutan itu untuk mengelakkan daripada mencederakan Syahrul.

"Lariiiii Syahrul!!!!!" jerit Shafiq menyuruh Syahrul meninggalkan tempat ini dengan segera. Ternyata kudrat Shafiq semakin lemah. Babi hutan itu kemudian terus menggila. Ia terus menyondol semula Shafiq yang semakin parah itu.

Tiba-tiba babi hutan itu menggelepar kesakitan. Shafiq tidak tahu kenapa. Rupanya Syahrul telah menetak badan babi hutan itu berkali-kali dengan parang di tangannya. Shafiq hanya mampu terbaring dan melihat adiknya itu membunuh babi hutan. Habis badan Syahrul disirami dengan darah babi hutan yang membuak keluar. Akhirnya ia sudah tidak bernyawa lagi.

Kemudian, Syahrul terus mendapatkan Shafiq yang agak parah itu. Baju Shafiq habis koyak rabak. Badannya dipenuhi dengan luka dan darah. Syahrul terus memangku kepala Shafiq.

"Abang!!! Abang!!! Bertahan bang!!" jerit Syahrul ketakutan memanggil nama abangnya itu. Tangannya menggenggam erat tangan Shafiq. Shafiq yang masih sedar itu cuba tersenyum bila mendengar kata-kata Syahrul.
"Syahrul...bawa abang keluar.." rintih Shafiq perlahan. Dia cuba sedaya upaya untuk bertahan. Syahrul terus membantu abangnya untuk berdiri. Ternyata Shafiq masih ada lagi kudratnya.

"Abang boleh berjalan?" soal Syahrul sambil memapah Shafiq. Shafiq mengangguk sahaja. Kemudian Syahrul menggagahkan diri memapah abangnya keluar dari belukar ini walaupun agak sukar. Akhirnya mereka berjaya juga.

Kampung Sidang gempar hari itu. Shafiq dimasukkan ke hospital di Kuala Kangsar untuk mendapat rawatan selanjutnya. Nasib Shafiq agak baik bila kecederaannya tidak terlalu serius biarpun agak parah. Shafiq terus ditahan di hospital sambil ditemani Ali. Setelah dua hari ditahan, akhirnya Shafiq dibenarkan pulang.

[BAB 21]
Malam itu, Syakila dan Zara menyediakan juadah makan malam di rumah. Ternyata masakan Zara amat istimewa malam ini. Buat pertama kalinya, Syahrul turut serta menikmati juadah malam itu bersama. Biarpun Shafiq masih belum pulih sepenuhnya, namun dia sanggup melanggar arahan doktor kerana tak tahan dengan masakan Zara yang cukup menyelerakan. Suasana malam itu agak riuh sekali. Sesekali Syafina nakal mengusik Zara dan Shafiq. Syahrul lebih banyak mendiamkan diri sahaja.

Jam sudahpun menunjukkan pukul 11 malam. Zara sudah pun pulang ke rumahnya. Seperti biasa Syakila dan adik-adik perempuannya tidur di dalam bilik manakala Shafiq dan Syahrul tidur di ruang tamu. Syahrul pula seperti kebiasaanya, tidur di anjung luar. Malam itu sungguh mendamaikan sekali.

Tiba-tiba Shafiq terjaga dari tidur. Bisa dari badannya membuatkan dia sukar untuk melelapkan matanya. Dilihat jam di dinding sudah pun ke angka 2 pagi. Shafiq perlahan-lahan cuba duduk. Dia yang berlengging dan hanya berkain pelikat melihat badannya yang masih dibaluti. Kemudian dia teringatkan Syahrul. Walaupun sudah 3 hari kejadian itu berlaku, namun Shafiq masih belum sempat mengucapkan terima kasih kepada Syahrul. Perlahan-lahan dia bangun dan terus membuka pintu rumah. Rupanya Syahrul juga masih belum tidur lagi.

"Tak tidur lagi Syahrul?" soal Shafiq bila melihat Syahrul duduk termenung di tangga rumah. Syahrul terkejut. Dia menggelengkan kepalanya tanpa bicara. Shafiq kemudian duduk di sebelah Syahrul.
"Hebat juga ye kau bunuh babi hutan tu" Shafiq cuba memuji kehebatan Syahrul. Syahrul terus membisu.

"Sebenarnya abang nak ucap terima kasih kat kau sebab selamatkan abang. Kalau tak, mungkin abang dah mati kena sondol dengan babi hutan gila tu. Heheh" kata Shafiq berseloroh sambil tersengih. Syahrul terus merenung wajah Shafiq.

"Patutnya saya yang patut ucap terima kasih pada abang" ujar Syahrul perlahan. Dia kemudian menundukkan kepalanya. Syahrul benar-benar merasa malu dengan perangainya selama ini yang tidak mahu menerima kehadiran Shafiq sebagai abangnya. Shafiq kemudian memegang bahu Syahrul.

"Maafkan saya, bang...." ucap Syahrul lagi. Kini suaranya agak sebak. Dia merasakan terhutang budi dengan Shafiq yang sanggup mempertaruhkan nyawanya demi menyelamatkan Syahrul. Syahrul cukup menyesal sekali.

"Takpe lah Syahrul. Kita memang banyak buat salah. So, mulai hari ni, kita lupakan kisah lalu. Kita bina hidup baru. OK?" pujuk Shafiq sambil menepuk-nepuk bahu Syahrul. Dia sebenarnya sangat gembira dengan perubahan Syahrul itu.
"Terima kasih bang.." ucap Shahrul lagi. Matanya merah bagaikan cuba menahan dari mengalirkan airmatanya.

"Weh, kau jangan lak menangis. Karang tak macho pula. Hahaha" kata Shafiq bergurau bila melihat Syahrul seperti ingin menangis. Mendengar kata-kata Shafiq, Syahrul turut ketawa kecil.

"Heheh, kedai sebelah ni ada kerja kosong ke? Saya ingat nak minta kerja lah" balas Syahrul membuat lawak. Shafiq tersenyum saja.

"Ada, kami sekarang nak cari pekerja baru. Syarat kelayakannya ialah seorang budak lelaki yang umur dia 16 tahun, seorang yang rajin, kuat, gagah dan yang paling penting kacak untuk menarik hati gadis-gadis dan makcik-makcik datang ke kedai ni! Jadi, kau rasa kau lepas tak syarat ni?" usik Shafiq berlagak serius. Syahrul pula sengaja berlakon seperti orang yang tengah berfikir.

"Hmmm, saya dah terlebih layak ni" jawab Syahrul selamba.
"Cantik!!! Esok boleh start kerja" balas Shafiq ketawa sambil menghulurkan tangannya untuk berjabat. Syahrul terus manyambut tangan Shafiq tanda setuju. Mereka berdua terus ketawa.

[BAB 22]
Cahaya kehidupan Shafiq dan adik-adiknya semakin cerah dan terus menyinar dengan penuh kebahagian. Perniagaan kedai mereka semakin maju. Banyak barangan baru mula dijual. Syakila dan Syahrul makin cekap mengendalikan pengurusan kedai ini. Shafiq kini sudah boleh bergantung harap sepenuhnya kepada mereka berdua. Syahida pula makin cemerlang dalam pelajarannya. Begitu juga dengan Syafina dan Syakir yang mula menunjukkan prestasi yang agak memberangsangkan. Syariza pula makin petah berkata-kata dan semakin aktif. Shafiq makin serasi dengan adik-adik tirinya itu. Baginya, merekalah segalanya untuk Shafiq dan perkataan kesal tidak terselit langsung dalam hatinya. Semenjak Shafiq di sini, tidak pernah dia mengambil tahu pasal keluarganya di Kuala Lumpur. Pada fikiran Shafiq, biarlah mereka di sana dengan cara mereka sendiri. Cuma sekali-sekala Shafiq agak merindui pada abangnya, Shazwan.

Sudah 2 tahun berlalu, akhirnya Shafiq mengambil keputusan untuk melangsungkan pertunangannya dengan Zara. Majlis pertunangan itu cukup bererti buat adik-adik Shafiq. Mereka ternyata gembira dengan keputusan Shafiq. Biarpun Zara masih lagi sibuk dengan tugasnya di Kuala Lumpur, namun ianya tidak menghalang perhubungan cinta di antara mereka. Kecekalan dan ketabahan hati Shafiq membuka pintu hati Zara untuk menerima kasih dari Shafiq. Sepanjang pertunangan mereka, Zara kerap kali pulang ke kampung sekiranya mempunyai masa terluang. Perhubungannya dengan adik-adik Shafiq juga semakin erat.

Malam itu, seperti biasa Shafiq dan adik-adiknya menikmati makan malam di rumah. Syakila sudah cekap memasak makanan yang lazat buat mereka.
"OK, Dengar sini semua! Abang ada berita baik untuk kamu semua!!" kata Shafiq tiba-tiba membuat kejutan ketika di meja makan. Mereka semua diam untuk mendengar apakah berita yang ingin disampaikan.
"Dua minggu lagi kita nak puasa kan? Jadi abang ingat nak bawa kamu pergi beli-belah untuk raya nanti" kata Shafiq lagi bila melihat adik-adiknya tidak sabar untuk mendengar berita darinya.

"Kita nak pergi Ipoh ke?" soal Syakir pula. Tahun lepas ketika kali pertama Shafiq merayakan Aidilfitri bersama adik-adiknya, dia telah membawa mereka ke Ipoh untuk membeli baju baru.
"Tak. Kita pergi Kuala Lumpur!!!!" jerit Shafiq bersemangat. Syahida menjerit kegembiraan. Begitu juga dengan Syakir dan Syafina. Syahrul pula seakan tidak percaya manakala Syakila pula tersenyum saja melihat kegembiraan adik-adiknya.
"Kat Kuala Lumpur tu ada apa Abang Shafiq?" soal Syariza yang sudah berusia 4 tahun itu. Dia seperti tidak memahami kegembiraan yang melanda pada abang-abang dan kakak-kakaknya.

"Iza, kat sana banyak tempat menarik tau. Nanti Iza boleh beli mainan" kata Syafina menyampuk. Mendengar saja perkataan mainan, Syariza melonjak kegembiraan. Shafiq tersenyum saja.
"Bila kita nak pergi bang? Habis kedai macam mana? KL tu kan jauh" tanya Syahrul pula ingin tahu.
"Kita pergi hari Jumaat ni. Hari Isnin kita baliklah. Kedai ni kita tutup je" jawab Shafiq selamba.

"Hah? 3 hari tu! Kenapa lama bang? Mana kita nak tidur?" tanya Syahida pula.
"Kamu semua kan tak pernah pegi KL. So, kena lama lah, baru syok. Kita tidur hotel" jawab Shafiq ringkas sambil meneguk air sirap.

"Nanti kita boleh jumpa Kak Zara la kan?" tanya Syakila pula yang dari tadi diam sahaja.
"Oooh, tu sudah tentu!!" jawab Shafiq sambil disambut hilai tawa dari mereka semua. Ternyata berita dari Shafiq ini benar-benar menggembirakan mereka semua. Masing-masing sudah tidak sabar untuk menjejakkan kaki di ibukota termasyhur di Malaysia itu.

[BAB 22]
"Cepatlah Abang Syahrul!!!" jerit Syafina di dalam kereta. Dia bagaikan tidak sabar memulakan perjalanan mereka ke Kuala Lumpur. Syahrul segera mengunci kedai mereka. Setelah berpuas hati dengan tahap keselamatan kedai mereka, Syahrul segera menaiki kereta Honda CRV itu di bahagian penumpang hadapan.

"OK, jom kita gerak" kata Shafiq pula lalu menekan pedal minyak bergegas ke arah jalan raya. Cuaca petang itu sangat baik. Dalam perjalanan ke sana, ternyata kegembiraan terpancar di wajah adik-adik Shafiq. Masing-masing berimiginasi bagaimana suasana di Kuala Lumpur. Bagaimanapun kadangkala mereka merasa agak bosan kerana terpaksa menempuh perjalanan yang agak jauh.

Akhirnya setelah hampir 4 jam, mereka tiba di plaza tol Jalan Duta. Adik-adik Shafiq terpukau melihat keindahan bangunan-bangunan yang tersergam indah dari jauh terutama bangunan berkembar KLCC.

"Abang Shafiq, nanti kita pergi KLCC ke?" tanya Syakir teruja.
"Yup, tapi esok lah. Sekarang ni kita nak ke hotel dulu" beritahu Shafiq pula. Dia sebenarnya sudah buat tempahan hotel di Sunway Lagoon. Dia bernasib baik kerana mempunyai kawan baik yang bekerja dalam pengurusan hotel tersebut. Jadi, Shafiq memperolehi diskaun yang sangat berpatutan untuk bermalam di sana.
Setelah menerima kunci, mereka pun menaiki lif dan terus menuju ke bilik yang telah ditempah.

"Ya Allah, cantiknya bilik ni bang!!" kata Syakila seakan tak percaya bila melihat kemewahan bilik di hotel ini. Begitu juga dengan adik-adiknya yang lain. Belum pernah mereka melihat apatah lagi merasai nikmat mendiami bilik sebegini mewah. Syafina dan Syakir terus berlari meninjau di tingkap bilik. Syariza pula begitu asyik meloncat-loncat di atas katil yang bertilamkan empuk itu.

"Betul ke kita nak tidur kat bilik ni, bang?" soal Syahrul lalu meletakkan beg-beg pakaian mereka. Shafiq mengangguk sahaja sambil tersenyum.
"Agak-agak Kak Ila, kita tidur nyenyak tak malam ni?" usik Syahida pula sambil memegang tangan kakaknya itu.

"Entahlah. Rasanya tak kot. Heheh" balas Syakila pula sambil ketawa.
"OK semua, pergi mandi dulu. Malam nanti, Kak Zara nak belanja kita makan kat restoran paling sedap kat KL ni" Shafiq memberi arahan. Mereka melonjak kegembiraan.
Malam tu, mereka menikmati juadah di Restoran Nelayan di Taman Tasik Titiwangsa. Zara yang mencadangkan untuk makan malam di sini. Ternyata mereka semua seronok menikmati makanan laut yang lazat-lazat dan yang tak pernah mereka rasai selama ini. Shafiq juga merasa gembira bila dapat melepaskan kerinduannya pada Zara.

Selama dua hari di Kuala Lumpur, adik-adik Shafiq begitu gembira sekali bila Shafiq dan Zara membawa mereka berjalan-jalan di Zoo Negara, Muzium Negara, Menara KL dan bermacam-macam tempat menarik lagi. Banyak juga Shafiq dan Zara berhabis duit demi kebahagiaan mereka dengan membeli pakaian baru dan permainan untuk mereka.
Setelah penat membeli belah di KLCC, mereka pun merehatkan diri di taman berhampiran. Shafiq ingin mengabadikan kenangan mereka di sini dengan mengambil gambar bersama. Shaiq kemudian meminta bantuan dari seorang lelaki yang berkacamata gelap yang kebetulan berada di situ. Alangkah terkejutnya Shafiq bila melihat wajah lelaki itu yang cukup dikenalinya dari dulu.

"Abang Shazwan??" soal Shafiq seakan tak percaya. Lelaki itu turut terkejut bila melihat Shafiq. Akhirnya mereka berpelukan melepaskan rindu selama 2 tahun tidak bertemu.
"Mana kau pergi Shafiq? Puas abang cari kau merata Kuala Lumpur ni!!" kata Shazwa yang tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya.
"Shafiq dah dua tahun tinggal di kampung abah. Mereka ni adik-adik Shafiq, bang. Dan yang ini tunang Shafiq, Zara" lantas Shafiq memperkenalkan mereka kepada Shazwan. Shazwan tersenyum saja.

"Alhamdulillah. Kau dah dapat kebahagian kau yang selama ini kau impikan. Abang berbangga dengan kau!" kata Shazwan bangga lalu menepuk-nepuk bahu Shafiq.
"Mummy macam mana, bang? Daddy sihat?" soal Shafiq ingin tahu biarpun dia sebenarnya berat hati untuk bertanya. Shazwan menggelengkan kepalanya seolah mempunyai maksud yang agak sedih.

"Kau tak tahu cerita ke? Bisnes daddy dah lingkup. Ini semua gara-gara Daniel yang membuatkan syarikat kita jatuh muflis. Tiada yang tinggal lagi. Sekarang ni kami menyewa di rumah teres sahaja" cerita Shazwan sayu. Shafiq benar-benar terperanjat dengan berita yang disampaikan oleh Shazwan.
"Ya Allah, sampai macam tu sekali?" tanya Shafiq pula. Shazwan menganggukkan kepalanya.

"Daddy sekarang dah 3 bulan terlantar di rumah sebab serangan sakit jantung. Mummy yang menjaga daddy. Abang sekarang ni nasib baik dapat bekerja di KLCC ni. Dapat juga abang tanggung daddy dan mummy" sambung Shazwan lagi.
"Habis tu, macam mana dengan Daniel dan Hazlyn?" soal Shafiq pula ingin tahu. Adik-adik Shafiq dan Zara turut memasang telinga.

"Hmmm, Daniel kini dalam tahanan polis disyaki terlibat dengan rasuah. Hazlyn pula abang tak tahu di mana dia sekarang. Sejak daddy sakit, dia sudah tidak pulang ke rumah lagi" kata Shazwan perlahan. Shafiq berasa sangat simpati dengan kisah sedih ini. Tiba-tiba terselit perasaan ingin bertemu dengan ibu kandungnya itu.

"Abang, boleh bawa saya dan mereka ini ke rumah abang? Shafiq teringin nak jumpa daddy dan mummy. Boleh ye bang?" pinta Shafiq bersungguh-sungguh. Shazwan mengangguk tanda setuju. Mereka pun bergegas ke rumah Shazwan dengan dua kereta milik Shafiq dan Zara. Akhirnya mereka sampai di sebuah taman perumahan di pinggir Kuala Lumpur.

Shazwan menjemput mereka masuk ke dalam rumah. Kelihatan seorang lelaki sedang berbaring kaku di atas tilam kecil. Sememangnya lelaki itu adalah Tengku Rashid, bapa tirinya. Tiba-tiba seorang wanita muncul dari sebuah bilik.

"Mummy!!!" jerit Shafiq bila melihat ibunya sedang berdiri di hadapannya. Juhara terpinga-pinga sebentar namun setelah dicam wajah Shafiq, Juhara terus mendapatkan anaknya lalu didakapnya sekuat hati. Rasanya inilah pertama kali Juhara mendakap Shafiq biarpun bertahun-tahun dahulu dia langsung tidak mempedulikan anaknya itu.
"Shafiq ke mana? Kenapa Shafiq tinggalkan daddy dan mummy? Tengoklah, kita dah miskin. Mummy tak tahan duduk rumah buruk macam ni" rungut Juhara sambil membelai rambut Shafiq.

"Shafiq tak ke mana-mana, mummy. Shafiq sekarang tinggal di kampung abah. Ini anak-anak abah, adik-adik Shafiq juga" kata Shafiq sambil menunjukkan Syakila, Syahrul, Syahida, Syafina, Syakir dan Syariza dalam dukungan Zara. Juhara merenung satu-satu wajah anak tirinya itu. Kemudian dia terus memandang wajah Shafiq semula.
"Kenapa kau bawa mereka ke sini, hah?? Mummy tak suka!!!" jerit Juhara tiba-tiba. Rupanya perangai Juhara masih tak berubah.

"Shafiq, tinggalkan mereka!!! Tempat kau di sisi mummy!! Bantu mummy dan daddy cari duit untuk keluarkan kami dari rumah buruk ni!!! Bukan bantu mereka yang berketurunan miskin ni!!" jerit Juhara menggila. Adik-adik Syafiq terkejut dengan perangai Juhara itu. Shazwan segera menenangkan ibunya yang dalam keadaan tidak menentu itu.

"Mummy, insaflah mummy. Mereka tu adik-adik Shafiq juga. Shafiq ada tanggungjawab. Lagipun ini janji Shafiq pada arwah abah" ujar Shafiq lembut cuba menenangkan ibunya.
"Tidak!!!! Persetan dengan janji kau dengan laki tak guna tu!!! Mummy kata kau kena tinggalkan mereka, tinggalkan mereka!!! Kau memang anak yang tak guna!!!" pekik Juhara lagi. Ternyata kata-kata Juhara meninggalkan kesan terhadap hati Shafiq. Begitu juga dengan adik-adiknya yang lain, mereka rasa terhina sekali namun mereka hanya mampu mendiamkan diri. Syahrul juga terpaksa menahan marahnya.
"Cakaplah apa saja yang mummy mahu. Tapi jangan hina abah dan adik-adik Shafiq" kata Shafiq lagi. Nadanya masih lagi lembut. Dia tidak mahu meninggikan suaranya terhadap ibunya walaupun dia tahu ibunya sendiri tidak menyayanginya selama ini.

"Dah memang si Zam Shuardi itu lelaki hina!!! Sekarang kau pilih mummy atau adik-adik kau yang miskin ini??" soal Juahara menuntut kepastian dan jawapan dari Shafiq. Shafiq agak keliru sekarang. Dia bagaikan tersepit di tengah-tengah. Namun, dia sudah menetapkan pendiriannya.

"Maafkan Shafiq, mummy" ucap Shafiq perlahan sambil menunduk dan memegang tangan ibunya. Juhara terus mengerti keputusan Shafiq. Perlahan-lahan Juhara meninggalkan ruang tamu dan terus ke biliknya semula. Mata Shafiq kemerahan menahan airmatanya yang seperti ingin keguguran. Lantas, Shazwan yang asyik membisu sahaja tadi terus mendapatkan adiknya itu.

"Bersabarlah Shafiq..." bisik Shazwan di telinga Shafiq.
"Abang jagalah mummy dan daddy baik-baik. InsyaAllah, Shafiq akan sentiasa mengirimkan duit untuk mereka" kata Shafiq lalu memeluk abang kesayangannya itu dengan erat sekali. Akhirnya air mata Shafiq tumpah jua.
"Sudahlah Shafiq. Bawa adik-adik kau keluar. Abang doakan kebahagian kamu semua" pujuk Shazwan sambil memegang tangan Shafiq. Shafiq mengangguk.

"Terima kasih, bang..." ucap Shafiq lalu melepaskan genggaman tangan Shazwan. Kemudian Shafiq memandang kesemua wajah keenam-enam adiknya. Lantas, Shafiq mengukirkan senyuman buat mereka.

"Abang Shafiq, Iza nak balik!!" kata Syariza perlahan. Jelas kelihatan di riak wajahnya terpamer rasa takut melihat kejadian tadi. Lantas, Shafiq membawa adik-adiknya keluar dari rumah itu. Tangannya memimpin Syafina dan Syakir manakala Syakila, Syahrul dan Syahida serta Zara yang mendukung Syariza mengekori dari belakang.
Shafiq merasa cukup sedih sekali. Namun baginya, inilah keputusan yang dipilih sejak dari dulu lagi. Keputusan mengecapi kebahagian bersama-sama adik-adiknya di kampung. Dia juga berdoa kepada Allah agar membuka hati ibunya itu. Lantas dia teringatkan arwah ayahnya. Ya, janjinya pada arwah abah masih dipegangnya. Dan dia begitu yakin mensyairkan janjinya buat selamanya hingga ke akhir nafasnya.

----hasil nukilan sahabat

No comments: